Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

PUTRAJAYA – “Kalau mahu bersaing dengan saya, mari kita bersaing tentang negara, mari kita bersaing dengan dasar-dasar progresif untuk membangunkan negara.

“Jangan heret saya kepada politik murahan dengan menjadikan Tabung Haji sebagai bahan kamu untuk menyerang secara politik,”.

Itu amaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof terhadap pihak-pihak yang cuba menyerangnya dengan menggunakan isu Tabung Haji.

Katanya, beliau tidak berminat untuk mengheret badan berkanun itu untuk dijadikan bahan politik dan tidak akan berundur ke belakang bagi mempertahankannya.

Ujarnya, beliau hanya berminat untuk melihat Tabung Haji dipimpin oleh mereka yang profesional dengan membuat keputusan profesional tanpa ada campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk orang politik.

“Kerana nama saya Mujahid ialah seorang pejuang. Saya tidak akan berundur ke belakang, tetapi demi melihat masa depan Tabung Haji supaya tidak ada elemen-elemen politik.

“Bukan saya ini tak reti berdebat, kalau tidak saya tak jadi Ahli Parlimen tiga penggal.

“Bukan saya tak pandai berdebat isu dan skandal Tabung Haji, saya adalah antara rakan-rakan yang lain berdebat dalam Parlimen,” katanya ketika berucap melancarkan Kad Debit-i TH di sini hari ini.

Mujahid berkata, beliau mahu melihat masa depan Tabung Haji dengan tidak ada elemen-elemen yang boleh merosakkan kenyataan ahli politik sepertinya walaupun beliau merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap badan berkanun itu.

Bulan lalu, Ketua Pemuda Pergerakan UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi menyambut pelawaan Astro Awani menjadi panel dalam program Sesi Dialog bersama Mujahid mengenai isu-isu terkini melibatkan Tabung Haji (TH).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berkata, Mujahid perlu segera menyahut cabaran itu atau dimalukan penyokong sendiri yang mahu menteri agama itu digantikan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH dan CEO Tabung Haji Plantations (THP). – MalaysiaGazette