Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya tidak pernah membincangkan tentang pakatan nasional, malah beliau menegaskan tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“Pakatan nasional itu apa? Tak tahu pula saya. Kita tidak pernah bincang tentang pakatan nasional kita bincang Muafakat Nasional,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional di PWTC malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad yang juga ADUN Rantau ditanya tentang ura-ura Muafakat Nasional akan diperluaskan menjadi pakatan nasional yang bakal bergabung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk kerajaan baharu.

Perkara itu dibangkitkan oleh salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendedahkan rakaman audio Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa mahu mendapatkan pandangan parti tentang kerjasama tersebut.

Majlis Kerja Tertinggi yang bermesyuarat baru-baru ini memutuskan membuang keahlian Lokman sebagai ahli parti berikutan tindakannya yang bercanggah dengan perlembagaan UMNO.

Mohamad dalam hantaran di laman Facebook baru-baru ini mengingatkan barisan kepimpinan UMNO supaya berhati-hati terhadap sebarang pelawaan atau lamaran bagi mengelak ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran’.  – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Takut-takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran – Tok Mad