Datuk Azlin Ahmad Shaharbi

KUALA LUMPUR – Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesion (Peniagawati) buat julung kali memilih enam universiti tempatan dan swasta bagi mengadakan program khusus untuk mendedahkan mahasiswa kepada dunia keusahawanan.

Presidennya, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, pihaknya akan memulakan jelajah pendedahan mengenai pengalaman kerjaya dalam bidang keusahawanan melalui ceramah dan sesi mentor pada 19 Februari di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Ini selaras dengan dasar kerajaan untuk mendorong golongan muda untuk menceburi kerjaya keusahawanan dan untuk meningkatkan bilangan Perusahaan Kecil Sederhana di Malaysia,” katanya ketika berucap pada sidang media sempena Ulang Tahun ke-40 Peniagawati di World Trade Centre (WTC), di sini, hari ini.

Peniagawati akan ke tiga universiti tempatan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia dan dua universiti swasta iaitu Multimedia University dan Universiti Kuala Lumpur untuk membawa pengalaman usahawan daripada pelbagai industri.

Azlin berkata, penyertaan dalam jelajah itu tidak terhad kepada mahasiswa wanita sebaliknya penyertaan turut dibuka kepada mahasiswa lelaki untuk turut memperolehi manfaat dari program itu.

Sementara itu, pada tahun ini Peniagawati juga akan melebarkan misi dagangannya ke Belitung, Indonesia dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

“Kita akan bawa 20 usahawan yang bersedia untuk mengeksport produk mereka di Dubai pada September, manakala pada Mac pula kami adakan perbincangan dengan pihak terbabit bagi usaha sama di Belitung,” katanya.

Azlin berkata, Peniagawati akan terus bergabung erat dengan rakan strategiknya di Hong Kong iaitu Hong Kong Trade and Development Council (HKTDC) sejak 2016 untuk membawa usahawan ke pameran antarabangsa.

Dalam pada itu, Peniagawati yang mempunyai lebih 1,500 ahli akan mengadakan Majlis Makan Malam Diraja sempena ulang tahun ke-40 pada 29 Jun di WTC selain pelancaran buku ‘coffee table’ mengenai sejarah dan perkembangan badan bukan kerajaan itu.

Terdahulu, Peniagawati menandatangani Memorandum Persefahaman dengan WTC sebagai rakan strategik untuk menjalankan pelbagai program anjurannya yang ditandatangani oleh Azlin dan Ketua Pegawai Eksekutif WTC Mohd Yusri Junos. – MalaysiaGazette