PDRM custodial deaths death lockup police
PDRM
DUNGUN –  Seorang buruh ladang maut selepas ditetak rakannya dalam kejadian yang berlaku di ladang sawit Kampung Beril Paka, awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, mangsa, Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, maut akibat kecederaan kesan ditetak di bahagian lehernya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian.

Menurut Baharudin, sebelum kejadian, pasangan suami isteri itu yang tinggal di Kampung Cacar Paka bersama lima anak mereka berkunjung ke rumah suspek di kawasan ladang terbabit kira-kira pukul 8 malam Selasa.

Katanya, sebaik selesai menikmati makan malam, suspek yang berusia 29 tahun itu telah ke laman rumah dan menebas belukar berhampiran sekitar kawasan rumah.

Bagaimanapun, selepas selesai menebas, suspek dikatakan meluru ke arah mangsa dengan memegang sebilah parang.

Melihat keadaan suspek yang berkelakuan ganjil itu, mangsa kemudiannya telah mengambil sebilah parang di dalam keretanya dan bertanya apa masalah yang dihadapi suspek.

Suspek, bagaimanapun, mendakwa dia tidak mempunyai sebarang masalah.

Mangsa kemudiannya merapati suspek dan bertindak merampas parang di tangan suspek.

Bagaimanapun, suspek merampas semula parang di tangan mangsa dan terus menetak mangsa sebelum meluru dan menetak isteri mangsa yang berusia 34 tahun.

Isteri mangsa bagaimanapun, mengalami kecederaan di jari.

Sejurus selepas itu, suspek yang juga warga Indonesia yang dikenali sebagai Joko bertindak melarikan diri. – Awani