Pengawal keselamatan mengawal sekitar kawasan Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. - foto hiasan

PUTRAJAYA – Hanya pengawal keselamatan warganegara Nepal dibenarkan untuk bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan swasta yang berlesen ketika ini, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN berkata demikian dalam satu kenyataan susulan laporan media Pakistan baru-baru ini berhubung pengambilan sekitar 100,000 hingga 150,000 pengawal keselamatan dari negara itu untuk bekerja di Malaysia.

Menurut KDN, syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan swasta di negara ini digalakkan untuk mengutamakan penggunaan pengawal keselamatan tempatan.

Katanya KDN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) turut melaksanakan program latihan secara kolaboratif sejak tahun 2014 bagi meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan kawalan keselamatan swasta dalam negara.

KDN berkata antara program itu ialah Certified Security Guard (CSG) dan Certified Bodyguard (CBG).

“Seramai 120,767 orang pengawal keselamatan tempatan telah menjalani program latihan ini yang melibatkan lebih 80 peratus daripada jumlah pengawal keselamatan tempatan yang sedang berkhidmat di dalam industri,” katanya.

KDN berkata program latihan itu bersifat serampang dua mata yang turut bertujuan memastikan pengawal keselamatan yang dilantik pihak swasta memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan kementerian.

— BERNAMA