Dr Mahathir Mohamad semasa mempengerusikan EAC di Putrajaya. Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR Kerajaan sedang merangka satu pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak ekonomi akibat kesan wabak novel koronavirus terutama dalam dalam sektor perkhidmatan seperti industri pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

Antara aspek yang akan diberi tumpuan adalah membantu industri menangani isu aliran tunai operasi perniagaan dan memperkenal inisiatif bagi menggalakkan perbelanjaan domestik dan pelancongan dalam negara bagi menjana pertumbuhan menerusi permintaan domestik yang lebih tinggi.

Urus Setia Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kementerian Kewangan sedang mengadakan perbincangan dengan kementerian, agensi dan pihak industri serta syarikat-syarikat perkhidmatan yang terlibat untuk mendapatkan input dalam perancangan pakej rangsangan ekonomi.

Pengumuman mengenai pakej rangsangan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

Selain isu itu, EAC turut membincangkan cadangan holistik pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli.

Antara isu utama yang dibincangkan adalah pemilikan dan pembangunan tanah adat, akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan infrastruktur asas serta pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli.

EAC telah bersetuju pelan tindakan yang lebih khusus dilaksanakan segera untuk menangani isu tersebut, termasuk mendapatkan kerjasama semua kerajaan negeri.

EAC turut membincangkan cadangan ke arah pembaharuan dalam pasaran modal tempatan bagi membantu pasaran untuk terus berkembang dan membangun secara inklusif.

Cadangan ini seiring dengan perubahan landskap pasaran modal, teknologi kewangan dan ekspektasi pemain industri serta pelabur, pada masa yang sama mengukuhkan lagi aspek kawal selia dan asas institusi.

Bagi merealisasi hasrat ini, EAC bersetuju supaya forum sedia ada diperkemaskan dengan lebih proaktif supaya semua pihak berkepentingan termasuk pengawal selia sekuriti, pihak berkuasa pasaran modal dan bank pusat serta pemain industri dapat bekerjasama dengan lebih erat. – MalaysiaGazette