Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam mengesahkan telah menerima surat pemecatannya sebagai ahli UMNO hari ini.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, pemakluman tersebut diterima oleh stafnya menerusi sepucuk surat daripada Ibu Pejabat UMNO bertarikh 10 Februari berdasarkan keputusan yang telah dibuat Jumaat lalu.

Tanpa menyatakan secara jelas isi kandungan surat yang diterimanya Lokman berkata, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuat Musa menyatakan bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan tidak benar terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, perkara itu merupakan kesalahan kerana melanggar Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli di bawah Fasal 20.8 Perlembagaan.

“Saya nak tegaskan, saya tidak mengkhianati parti. Yang saya dedahkan kepada umum adalah perlakuan presiden parti yang cuba melakukan perkara memaksa 3.7 juta ahli UMNO untuk tunduk kepada Dr Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Nasional yang baharu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Laskar Siber Malaysia di sini, malam ini .

Lokman menegaskan, tidak boleh menerima tuduhan bahawa beliau telah mengkhianati parti sebagaimana alasan yang dinyatakan terhadap pemecatannya itu.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan berhubung pemecatan tersebut Lokman menjelaskan, beliau kini sedang berbincang dengan peguamnya untuk mengambil langkah lanjut.

Mengulas mengenai, pertubuhan yang dilancarkannya malam ini, Lokman berkata, NGO itu akan menjadi pemantau kepada Pakatan Harapan (PH) serta memainkan perana untuk membuat teguran kepada mana-mana parti politik agar mengikut jalan yang benar.

Dengan memberikan keyakinan bahawa peranan dan fungsi NGO itu tidak akan berubah dengan matlamat penubuhannya, Lokman memberitahu, Laskar Siber Malaysia tidak akan menjadi seperti NGO, Pribumi Perkasa (Perkasa) yang bertukar menjadi parti politik.

“Hari ini saya begitu yakin Laskar Siber Malaysia akan berterusan menjadi rakan BN serta serta kita akan support UMNO dan BN,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dato Lokman Adam merupakan seorang pemimpin yang ada maruah. He dares to speak the truth. I hope he will bounce back before the next election in this country. I really enjoyed reading his analysis. May God be with him. All the best in your future undertaking.

Comments are closed.