Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Empat lelaki ditahan kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah lebih 16kg dengan anggaran nilai RM1.3 juta di sekitar ibu kota, pada Isnin dan Selasa lepas.

Kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 22 tahun hingga 40 tahun dan ditahan dalam beberapa serbuan berasingan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kes pertama melibatkan suspek berusia 22 dan 23 tahun ditahan Isnin lepas, ketika menaiki kereta jenis Toyota Vios di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan polis menjumpai dadah disyaki syabu seberat 56 gram di bahagian tempat duduk belakang.

Beliau berkata, siasatan terhadap suspek membawa pihak polis ke sebuah kereta Proton Wira di tempat meletak kereta di Connaught Avenue, Cheras, di mana polis menjumpai dadah disyaki pil erimin 5 sebanyak 14,800 biji dan serbuk disyaki syabu seberat 6.6 kilogram.

“Bagi kes kedua, hari yang sama, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan  33, Taman Kepong. Di sini (polis), menjumpai 1,000 pil erimin 5.

Seterusnya,  pemeriksaan dilakukan dirumah itu menjumpai dadah jenis ketamin seberat 19.2 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini.

Mazlan berkata, siasatan kes kedua itu membawa pihaknya kepada kes ketiga dengan menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang menaiki kereta jenis Honda City di tepi Jalan Kepong, di sini, pada Selesa lepas.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menjumpai dadah disyaki pil erimin 5 sebanyak 1,100 biji dan pil ekstasi 200 biji di bawah tempat duduk bahagian hadapan penumpang kereta itu.

Susulan penahanan lelaki itu, pihak polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Medan Hujan Rahmat, di sini dan merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 6.9 kilogram, pil erimin 5 sebanyak 230 biji, pil ekstasi seberat 89 biji dan 101 biji batang rokok ganja.

Mazlan berkata, kesemua suspek didapati bergiat aktif sejak tiga bulan lepas dan dengan tangkapan ini polis percaya telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan itu.

“Selain itu, hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada hampir 40,000 pengguna dadah dalam satu masa di sekitar Lembah Klang.

“Kesemua suspek didapati positif dadah dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 11 Feb sehingga Selasa depan,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di KEPALA BATAS, seorang pengedar dadah ditahan ketika sedang menunggu pembeli di tepi jalan Kampung Kubang Menerong, Tasek Gelugor dekat sini bersama dadah jenis syabu dan pil ekstasi bernilai RM15,700 dalam serbuan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pukul 6.00 pagi di dalam sebuah kereta, hasil risikan dan intipan polis sejak dua minggu lepas.

“Hasil pemeriksaan polis merampas syabu 100.1 gram dan 22 biji pil ekstasi bersama lelaki yang tidak bekerja itu. Semua dadah bernilai RM15,700 dan siasatan mendapati suspek menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

“Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes tersebut disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. – Bernama