Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Sesi Dialog Bersama Industri Mengenai Impak Covid-19 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan menghadkan pembelian penutup mulut dan hidung kepada rakyat di negara ekoran penularan virus Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana tidak ada pembelian panik oleh masyarakat dan ia hanya berlaku di sesetengah tempat sahaja.

“Dalam kes membuat pembelian besar-besaran, ia berlaku tidak secara menyeluruh di seluruh negara ia berlaku di tempat tertentu saja.

“Jadi, itu belum lagi (hadkan pembelian penutup muka dan hidung), belum sampai situ lagi. Saya fokus kepada mecukupkan bekalan dengan cara dapat kerjasama pengeluar,” katanya katanya kepada media selepas menghadiri sesi dialog bersama industri mengenai impak Covid-19 di pejabatnya hari ini.

Hadir sama timbalannya, Chong Chieng Jen.

Ditanya apa langkah kerajaan sekiranya pembelian panik itu terus dilakukan, Saifuddin berkata, kerajaan sedang bekerjasama dengan pihak pengeluar penutup mulut dan hidung bagi menambah pengeluaran mereka bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap produk berkenaan.

“Kita telah bersetuju untuk memudahkan apa sahaja masalah yang mereka hadapi agar kerajaan dapat membuat pesanan kepada pengilang selepas mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Saifuddin memberitahu, syarikat pengeluar telah menyatakan persetujuan untuk meningkatkan pengeluaran.

Malah, kerajaan telah memberikan komitmen bersedia untuk membeli produk keluaran mereka.

“Sebagai contoh, ada beberapa pengeluar yang kata mereka ada bekalan dalam 400,000 penutup mulut dan hidung dan ada yang kata mereka boleh hasilkan 200,000 penutup mulut dan hidung sehari, ada yang kata boleh hasilkan 100,000 seminggu.

“Kita telah berikan komitmen untuk menolong pengeluar, apa yang mereka ada kerajaan sanggup beli,”, katanya lagi.

Dalam pada itu, mesyuarat kabinet semalam,  KPDNHEP telah membuat permohonan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk meluluskan kadar segera permohonan pihak pengeluar untuk membuat tiga shif dalam proses pengeluaran penutup mulut dan hidung di peringkat kilang.

Ujarnya, kelulusan itu harus datang daripada Kementerian Sumber Manusia bagi mendorong pengeluaran produk penjagaan kesihatan itu dapat memenuhi permintaan yang tinggi daripada pengguna.

“Kita minta pengeluar tempatan tambah pengeluaran. Kalau dalam usaha tambah keluaran itu dia kata perlu tiga syif. Dia mesti dapat kelulusan khas daripada Kementerian Sumber Manusia.

“Dalam mesyuarat kabinet semalam saya bawa perkara itu, saya minta izin menterinya, Kulasegaran, kalau permohonan tiga syif oleh pengeluar topeng tempatan sampai ke meja saudara, tolong beri kelulusan segera,” katanya lagi.

Isu kekurangan stok penutup mulut dan hidung kini menjadi rungutan orang ramai sejak beberapa minggu lalu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kekurangan bekalan penutup mulut masih belum selesai