hli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media ketika hadir pada sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 OKTOBER 2018.
Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mencadangkan kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa pemasangan tenaga solar kepada sekolah di luar bandar Sarawak adalah demi kebaikan program Permata.

Peguamnya, Azrul Zulkifli Stork berkata demikian selepas bertanyakan kepada bekas Menteri Pendidikan itu adakah beliau tahu tentang pelaksanaan program Permata secara meluas termasuklah di Sabah dan Sarawak dan beranggapan tidak mustahil pemasangan tenaga solar kepada 369 buah sekolah boleh memudahkan program tersebut khususnya bagi pembelajaran secara online.

Bagaimanapun Mahdzir tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana sekolah-sekolah di Sarawak termasuklah di bawah Permata  mempunyai bekalan elektrik yang disalurkan menerusi genset atau generator.

Azrul: Adakah Datuk arif tentang program Permata?

Mahdzir: Saya tahu.

Azrul: Adakah program ini melibatkan Kementerian Pendidikan?

Mahdzir: Sebahagian daripada program (itu) bersama Kementerian Pendidikan dengan Jabatan Perdana Menteri .

Azrul: Bolehkah Datuk maklumkan kepada mahkamah program Permata ini menyeluruh sampai ke Sabah dan Sarawak?

Mahdzir: Betul.

Azrul: Saya cadangkan  pemasangan  solar ini akan memudahkan pembelajaran online, kalau ada tenaga solar ini pembelajaran online akan mudah.

Mahdzir: Tidak setuju. Sekarang pun ada elektrik dengaan genset (janakuasa atau generator). Sekarang mereka nak buat (pasang ) solar. Sudah ada genset.

Malah Mahdzir turut berpendirian pada waktu itu keberkesanaan tenaga solar untuk kegunaan sistem pembelajaran online Permata juga tidak diuji sebelum projek mega.

Permata merupakan program perintis yang dicetuskan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansor bersama beberapa kumpulan profesional untuk memupuk sahsiah dan kemahiran generasi pelapis negara sejak usia muda.

Azrul: Kalau genset ada masalah (tidak boleh beroperasi)  ia akan bergantung dengan tenaga solar, untuk memudahkan sistem pembelajaran online?

Mahdzir: Kita tidak cuba lagi masa itu, saya tidak pasti ia boleh dilakukan di luar bandar.

Mahdzir yang merupakan saksi kelima pihak pendakwaan kemudian dilepaskan sementara dan akan dipanggil kembali memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi pada Isnin depan. 

Hari ini merupakan hari keenam perbicaraan tuduhan rasuah terhadap Rosmah melibatkan pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak. -MalaysiaGazette