TERKINI : Rizal Mansor dan Rayyan Beri Tekanan Kepada Saya – TS Madinah

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menunjukkan minatnya secara langsung terhadap projek solar di Sarawak, kata saksi keenam pendakwaan.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berkata, penglibatan isteri bekas perdana menteri itu menjadi tanda tanya apabila Rosmah sendiri memintanya mempercepatkan projek tersebut untuk dilaksanakan oleh Jepak Holdings.

Memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Rosmah didakwa membuat permintaan itu ketika menghadiri majlis Permata yang turut dihadiri Madinah selaku Ahli Lembaga Yayasan Permata.

“Insiden luar biasa tersebut berlaku selepas tamatnya majlis Permata yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana Putrajaya.

“Selepas Datin Seri Rosmah masuk ke dalam keretanya, beliau menurunkan tingkap kereta dan memanggil saya dengan cara melambai ke arah saya.

Apabila saya menghampiri beliau, beliau memberitahu saya lebih kurang “You tengok sikit projek solar Jepak. Cepatkanlah sikit.”