Program realiti terbaharu, Malaysia Top Make Up Artist (MUA) menampilkan 10 finalis yang bakal menunjukkan kemahiran solekan.

KUALA LUMPUR – Program realiti terbaharu, Malaysia Top Make Up Artist (MUA) menampilkan 10 finalis yang bakal menunjukkan kemahiran solekan di bawah penilaian usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa menerusi episod pertama esok.

Memulakan pencarian sejak November lalu, program tersebut bertujuan mengangkat profesion jurusolek ke peringkat tertinggi selain memenuhi impian Alha yang juga pengasas Alha Alfa Cosmetic menerbitkan program realiti bagi mengasah bakat anak muda dalam dunia solekan.

Alha atau nama penuhnya, Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil berkata, saringan awal peserta bermula 13 November hingga 4 Disember lalu melalui penghantaran video solekan berdurasi seminit menggunakan produk Alha Alfa iaitu set Borderless yang diperkenalkan sempena ABPBH 32.

“Program realiti ini berkonsep tugasan bertema dengan penyingkiran seorang peserta setiap minggu apabila dipilih akan mengadili hasil solekan peserta.

“Rakaman peringkat suku akhir program realiti ini dibuat di Yogyakarta manakala separuh akhir di Bali, Indonesia.

“Episod akhir dilakukan di Malaysia dengan empat peserta yang mencapai mata tertinggi bersaing merebut posisi juara hingga tempat keempat,” katanya pada sidang media program itu baru-baru ini.

Program MUA di Astro Ria diterbitkan oleh usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa.

MUA yang diterbitkan Alha Alfa Rich Legacy & VC Media & Consultancy Sdn Bhd disiarkan setiap Sabtu pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD 123, mulai esok.

Sebanyak 10 episod akan disiarkan selama  30 minit manakala program khas bingkisan pukul 12 tengah hari.

MUA menawarkan hadiah lumayan termasuk wang tunai RM25,000 kepada juara, RM15,000 (naib juara) dan RM10,000 (tempat ketiga).

Selain Alha, juri MUA terdiri daripada Rozita Che Wan, Datuk Aznil Nawawi, Puan Sri Tiara Jacquelina, Amber Chia, Connie Sim, Kavitha Sidhu, Datin Paduka Suhaimi Baba, Thanuja, Sazzy Falak dan Rizman Ruzaini.

Turut terbabit, pelakon dan pengacara Indonesia, Nana Mirdad dan jurusolek selebriti, Bubah.

Tenaga pengajar dibarisi jurusolek terkenal tanah air seperti Deqsha, Ayang Kamel dan Ezal Ezlizan. – MalaysiaGazette