Datuk Seri Vida.

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman akan membuat keputusan pada Selasa depan sama ada meneruskan tindakan saman ke atas pengacara kontroversi, Azwan Ali.

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida bagaimanapun membayangkan satu keputusan perlu diambil sebagai memberi pengajaran kepada adik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu.

“Bagi bui atas dahi dio sikit. PC (sidang media) ke laut, merepek dan buang masa. Jangan perbodohkan orang, delete (padam) dan minta maaf secara terbuka yang menjijikkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada Selasa lalu, Azwan yang menggelar dirinya Diva AA meminta maaf secara terbuka kepada  Vida berikutan ciapannya di laman Twitter yang menghina jutawan dengan memuatnaik video yang menunjukkan beliau telah membakar minyak wangi yang dihadiahkan oleh usahawan kosmetik itu.

Perbuatan tersebut tambah mengguris hati Vida apabila Azwan mengaitkan tindakannya membakar itu dengan anak-anak usahawan kosmetik itu yang maut dalam satu kebakaran beberapa tahun lalu.

Menurut Vida, tindakan Azwan yang juga menghina fizikal anak perempuannya atau lebih dikenali sebagai Cik B serta dua anak lelakinya yang sudah meninggal dunia dalam kejadian kebakaran disifatkan sebaga perbuatan tidak sensitif.

Dakwa Vida lagi, menerusi video yang dikongsi di Twitter, Azwan turut membakar sehelai selendang serta dua botol minyak wangi pemberiannya yang bernilai ratusan ringgit. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Diva AA mohon maaf terbuka kepada Dr Vida