KUALA LUMPUR – Keadaan cuaca kering akan kembali semula dan ia hanya akan beransur-ansur reda bermula akhir Mac 2020 berikutan bermulanya tempoh peralihan monsun yang dijangka membawa lebih banyak hujan ke seluruh negara.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)berkata, walaupun dalam tempoh beberapa hari lepas hujan telah turun di beberapa kawasan yang mengalami keadaan kering di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak, keadaan lembab ini adalah sementara sahaja.

“Negara ini masih berada pada fasa akhir monson timur laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh tersebut, selain Sarawak, biasanya taburan hujan adalah agak rendah di seluruh negara terutama di utara Semenanjung.

Berikutan itu MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar dan minum air secukupnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast