Deretan pesawat Airbus A380 milik Malaysia Airlines dilihat menunggu giliran untuk melakukan penerbangan di Lapangan Terbang KLIA, Sepang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines kini memperkenalkan perkhidmatan bagi laluan baharu iaitu Kuala Lumpur-Kertajati, sekali gus menjadi syarikat penerbangan Malaysia pertama yang menawarkan penerbangan langsung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati (KJT).

KJT merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia.

Kertajati, terletak daerah Majalengka di wilayah Jawa Barat, merupakan pintu masuk strategik bagi penumpang Malaysia Airlines dari seluruh dunia untuk meneroka destinasi ikonik yang dimiliki Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, perkhidmatan itu memberikan peluang kepada penumpangnya untuk menikmati tarikan yang ditawarkan Kertajati.

“Pada masa sama, kami juga dapat berperanan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Jawa Barat,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata perkhidmatan ini, seiring dengan kempen ‘Fly Malaysia’ oleh pihaknya, akan terus menyokong Tahun Melawat Malaysia 2020, menggalakkan pelancong meneroka tarikan semula jadi dan mercu tanda ikonik Malaysia yang sesuai untuk percutian panjang atau persinggahan bagi tempoh singkat.

Selain perjalanan percutian, kesambungan ini memberikan pilihan kepada penumpang untuk berkunjung ke Malaysia bagi tujuan perniagaan atau mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan premium, katanya

Izham berkata Kertajati menjadi destinasi ketujuh Malaysia Airlines di Indonesia, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan sekian lama dengan negara jiran dalam ASEAN, Indonesia.

Penerbangan sulung tersebut, menerusi pesawat MH845, berlepas dari Kuala Lumpur pada 6.20 petang 13 Feb, 2020 dan tiba di Kertajati pada 7.45 malam manakala penerbangan balik MH844 dari Kertajati dilaksanakan pada 8.25 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 12.10 tengah malam hari keesokannya, menurut Malaysia Airlines.

Perkhidmatan dua kali seminggu itu dikendalikan menerusi pesawat B737-800 dengan kapasiti penumpang 160 tempat duduk, terdiri 16 kerusi Kelas Perniagaan dan 144 kerusi Kelas Ekonomi.

Malaysia Airlines kini menghubungkan Kuala Lumpur ke enam destinasi Indonesia lain — Jakarta, Surabaya, Medan, Bali, Pekanbaru dan Solo. – MalaysiaGazette