KUALA LUMPUR – Malaysia Travel Fair hari ini tampil menyatakan kekecewaan dengan laporan beberapa akhbar tempatan yang didakwa menggunakan singkatan nama persatuan berkenaan secara salah dalam artikel hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini Ketua Komunikasi Korporat Malaysia Travel Fair Dr. Fathir Badri Alhaddad berkata, untuk makluman awam Malaysia Travel Fair yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Mac 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra  dianjurkan oleh gabungan beberapa persatuan iaitu tujuh persatuan dalam industri pelancongan.

“Seperti dalam sidang media bertarikh 13 Februari 2020, Malaysia Travel Fair dengan tegas menyatakan bahawa pameran Malaysia Travel Fair ini tidak ada kena mengena dengan Persatuan EjenEjen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) seperti yang dilaporkan oleh beberapa media pada hari ini.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa Datuk Mohd Khalid Harun adalah Presiden, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) – rujuk siaran media yang diedarkan pada 13 Februari 2020.

“Sekretariat itu sangat kecewa dengan kesilapan yang berlaku dan dengan tegasnya meminta pihak media untuk membetulkan kesilapan tersebut dengan segera.

“Kami tidak akan bertanggung jawab sekiranya ada pihak yang ingin mengambil tindakan undang-undang atas kesilapan ini,” katanya.

Menurutnya, ketujuh-tujuh persatuan berkenaan yang dimaksudkan beliau adalah  Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH Malaysia); Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA); Malaysia Tourism Development Association (MTDA); Majlis Pelancongan Islam Sedunia (WITC); Cruise Marine Tourism Association; Federation of Asean Umrah & Hajj (FAUH) dan akhirnya Persatuan Agensi Pelancongan Wilayah Persekutuan dan Selangor.

“Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Puan Izyan Diyana ditalian 016 2618014 / 03 40507188,” tegas beliau.-MalaysiaGazette