Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan parti atau ahli parlimen yang menolak usul undi percaya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang Dewan Rakyat pada Mac ini sebagai penakut.

Beliau tidak tahu mereka takut apa tetapi Pas akan tetap membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri supaya memegang jawatan itu sehingga habis penggal PRU-14.

Tindakan membawa usul itu, katanya, mengikut proses demokrasi yang bukan sahaja membuka ruang kepada Ahli Parlimen Pas dan UMNO malah Pakatan Harapan (PH) dan DAP juga boleh membawa undi percaya itu.

“Walaupun kita tahu ada orang yang penakut dengan usul ini tetapi kita tetap bawa. (Begitu juga) kalau ada yang tak bersetuju, kita tahu siapa yang tak bersetuju.

“Kita tak takut, tapi ada orang yang takut, (nak) takut apa… pada Pas, orang tidak sokong pun tak apa, kita (dah) biasa dengan kekalahan.

“Yang penting, kita mahu selamatkan negara, bukan sahaja orang Melayu, Islam, termasuk kaum lain. Adalah lebih baik kita memberi undi kepercayaan kepada Mahathir yang sudah ada pengalaman memerintah paling lama,” katanya di Rusila, Terengganu hari ini.

Menurut Abdul Hadi, beliau bukan hendak mengipas (membodek) Mahathir apabila membawa usul undi percaya Mac ini tetapi niat dan hasrat Pas ialah hendak menyelamatkan rakyat.

Diminta mengulas lanjut kenapa Pas beria-ia mahu Perdana Menteri sehingga habis penggal, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Marang berkata, Mahathir seorang pemimpin berpengalaman dan paling lama mentadbir negara.

Beliau mengajak PH, daripada suka berpolitiking dalam satu parti, lebih baik bersama Pas dan UMNO memberi kepercayaan kepada Mahathir mengendalikan negara dan dapat menutup pintu krisis sesama sendiri.

Katanya, apabila diberi undi kepercayaan bermakna kedudukan Mahathir akan teguh dan kuat selain mendapat sokongan rakyat. – MalaysiaGazette