Keluarga pelakon dan pelawak terkenal, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan atau Abam masih tidak percaya atas keprihatinan orang ramai yang tidak putus-putus hadir ke rumah dan menziarahi pusaranya sehingga ke hari ini.

Ibunya, Sabariah Arshad berkata mereka berasa pelik dengan apa yang telah dilakukan oleh arwah anaknya itu sehingga mendapat perhatian yang begitu mendalam sebelum dan selepas pemergian beliau, Isnin lalu.

Setahu beliau, arwah anaknya itu hanya memberikan sumbangan berupa wang ringgit kepada beberapa rumah anak yatim di sekitar Gombak sahaja.

“Dia tidak pernah cerita tapi dia adalah dua tiga rumah anak yatim dibawah naungan arwah. Perbelanjaan semua dia tanggung.

“Itu sahaja yang saya tahu, yang lain tidak ada maklumat. Sebab dia tidak pernah bercerita kepada saya. Tapi kalau dia bagi sumbangan kepada anak yatim dia ada bawak saya sekali,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.