Pengerusi Badan Pertubuhan Silat Pertahan Perlembagaan (PERTAHAN), Sahruddin Esa (tengah) bersama yang lain menunjukkan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Setelah buntu sikap membisu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu melibatkan kedaulatan negara -pakatan NGO bertindak menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di sini hari ini.

Memorandum itu dihantar kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, di Istana Negara hari ini oleh kira-kira 200 NGO.

Dua pertubuhan tunggak kepada pakatan NGO berkenaan, Pertubuhan Islam (Pembela) dan Gabungan Pertubuhan Silat Pertahan Perlembagaan (Pertahan) berkata, faktor utama penyerahan memorandum itu bagi memohon campur tangan YDPA atas beberapa peristiwa yang berkaitan dengan keselamatan negara.

Malah menurut Timbalan Presiden Pembela, Masrizi Sad permohonan itu setelah beberapa kes penghinaan terhadap Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu yang semakin melampau dan tidak terbendung oleh pihak berwajib.

“Percubaan oleh pihak tertentu yang cuba menghidupkan kembali ideologi komunis yang jelas menolak kedaulatan institusi Raja-raja Melayu, dan agama Islam harus ditangani dengan lebih agresif.

“Ideologi merbahaya ini terbukti menimbulkan ancaman keselamatan dan menjejaskan negara kesulitan. Malah, media baru-baru ini melaporkan telah ada indoktrinasi inisiatif di peringkat sekolah untuk mengangkat pemimpin komunis sebagai pejuang kemerdekaan,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum itu kepada pihak Istana Negara hari ini.

Sebahagian peserta dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersorak ketika berarak ke Istana Negara bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2020

Memorandum empat muka surat itu diserahkan kepada Setiuasaha Kanan kepada YDPA, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Turut hadir Pengerusi Gabungan Pertubuhan Silat Pertahan Perlembagaan (Pertahan), Sahruddin Esa dan ratusan individu bagi menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Sahruddin Esa, pihaknya kecewa dengan PH yang dilihat gagal menyelesaikan kebiadapan beberapa pihak yang mempertikaikan kedaulatan institusi Beraja di negara ini dan isu penolakan tulisan Jawi.

Maka pihaknya mengambil jalan terakhir dengan memohon campur tangan pihak institusi beraja bagi menyelesaikan kemelut ini.

“Kami bukan parti politik, kami hanya boleh mengadu kepada mereka tapi tidak tahu sedangkan PH pun masalah.

“Kita lihat insiden mengenai keselamatan pun tidak boleh ditangani, bagaimana kita nak harapkan kerajan lagi. Maka kita ke istana,” katanya dalam sidang media yang sama.

Dalam pada itu, Masrizi Sad turut memohon agar YDPA bertitah kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan lebih tegas keatas mana-mana individu yang terlibat dalam aktivivi mengancam keselamatan negara.

“Ini termasuk mereka yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan provokatif yang menghina dan mempertikaikan kedudukan Islam, hak orang Melayu dan Raja-raja Melayu, yang seolah-olah mahu menghasut rakyat menentang perkara-perkara berkenaan. Langkah untuk melucutkan kerakyatan kepada pelampau itu harus dipertimbangkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette