Manchester City.

SWITZERLAND – Berita buruk menimpa Manchester City apabila digantung daripada menyertai kejohanan Eropah selama dua musim kerana melanggar peraturan fair play kewangan, umum Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang keputusannya dicabar oleh kelab.

City yang turut didenda 30 juta euro (RM134.5 juta) bagaimanapun akan mencabar keputusan itu.

Kelab itu mengumumkan akan merayu penggantungan itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) secepat mungkin.

“Sudah pasti kami tetapi tidak terkejut dengan pengumuman oleh UEFA. Secara asasnya, kes ini dimulakan oleh UEFA, didakwa oleh UEFA dan diadili oleh UEFA.

“Kelab akan mengambil tindakan susulan di CAS secepat mungkin,” kata kelab itu.

City kendalian Pep Guardiola akan berdepan Real Madrid dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara musim ini.

UEFA dalam kenyataannya mengumumkan yang mereka mengenakan tindakan disiplin ke atas Manchester City di mana kelab itu dilarang daripada menyertai sebarang kejohanan Eropah untuk dua musim akan datang.

City didapati bersalah kerana memalsukan penyata tajaan yang mereka lakukan.

Semuanya bermula apabila laman ‘whitsleblower’ bola sepak iaitu Der Spiegel telah mendedahkan dokumen dan e-mail yang memaparkan bagaimana pasukan itu melakukan penipuan.

Kebocoran itu dilakukan oleh Der Spiegel pada 2018 dan City didapati bersalah oleh Badan Kawalan Kewangan Kelab Uefa (CFCB) kerana telah menaikkan hasil penajaan (overstated) mereka secara palsu, dalam laporan untuk proses piawaian FFP.

E-mel dan dokumen yang dibocorkan itu menunjukkan bahawa pemilik City, Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan sebenarnya telah membiayai kebanyakan penajaan tahunan yang berjumlah £67.5 juta untuk baju, stadium dan akademi City menerusi syarikat penerbangan, Etihad.

Salah satu e-mel yang bocor menyatakan bahawa hanya £8 juta tajaan dibuat pada 2015/16 yang dibiayai secara langsung oleh Etihad dan selebihnya datang daripada syarikat milik Sheikh Mansour iaitu Abu Dhabi United Group.

Badan induk bola sepak Eropah itu berkata, City gagal memberi kerjasama dalam siasatan.

Ini bukan kali pertama City didakwa melanggar peraturan kewangan bola sepak kerana pernah didenda 60 juta euro (RM269 juta) pada tahun 2014. – MalaysiaGazette