IPOH – Provokasi terhadap anggota penguat kuasa Imigresen Selangor semasa melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, Selangor baru-baru ini memberi kesan buruk kepada negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.

“Dalam hal ini, bila pegawai dapat maklumat mereka hendak jalankan tugas tapi telah dihalang, untuk elak timbul pergaduhan dan kecederaan, pegawai telah hentikan operasi.

“Pegawai bertindak bijaksana tidak ambil tindakan tapi timbul masalah lain sedangkan pihak terlibat bertindak secara luar batas iaitu menghalang pegawai dan penjawat awam menjalankan tugas, yang merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-48 Rela Peringkat Kebangsaan 2020 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Muhyiddin berkata berdasarkan maklumat, terdapat ramai peniaga dari India di lokasi itu dengan disokong oleh warga tempatan yang jelas bercanggah dengan undang-undang.

Semalam, tular di media sosial bahawa kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh Ahli Jawatankuasa Kuil Batu Caves.

Selain itu, mereka dicemuh dengan bahasa kesat.

Sementara itu, Muhyiddin meminta semua 3.1 juta ahli Rela di seluruh negara agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk memelihara keselamatan negara dan pada masa sama, berharap lebih ramai tampil menyertai unit beruniform tersebut.- BERNAMA