Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin diiringi Pengarah KLAF, Dr. Tan Loke Mun (kiri) meluangkan masa melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2020 di Pertubuhan Arkitek Malaysia Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Masih terlalu awal untuk mendakwa insiden bangunan runtuh tapak kondominium 37 tingkat di Taman Desa petang semalam berkemungkinan berpunca daripada struktur bangunan tidak ikut spesifikasi.

Itu kata-kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin yang mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Kata Zuraida, ketika ini Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedang dalam proses siasatan dan berkemungkinan akan mengambil masa sehingga sebulan untuk selesai siasatan.

Sebaliknya, kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang satu mesyuarat penyelarasan diadakan pada Isnin jam 2 petang tadi bagi membincangkan secara lanjut perkara tersebut.

Antara yang akan menghadiri mesyuarat itu termasuk KPKT sendiri, wakil DOSH, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta pemaju projek kondominium itu sekali.

“Bangunan tidak ikut spesifikasi? Masih terlalu awal. Ketika ini DOSH akan menyiasat terlebih dahulu punca mengapa kejadian ini berlaku. Prosesnya mungkin boleh makan masa sehingga sebulan tetapi kita telah minta untuk mereka percepatkannya.

“Isnin ini kita akan adakan mesyuarat penyelerasan dengan penglibatan seperti KPKT, DOSH, CIDB, pemaju untuk berbincang dengan terperinci tentang insiden ini.

“Setakat apa yang saya tahu, saya sudah berada di tempat kejadian semalam lagi, saya diberitahu tidak ada sebarang masalah tanah dan projek ini sepatutnya akan habis dalam tempoh 54 bulan.

“Setakat ini semuanya ok dan all in order. Kita tunggu keputusan siasatan terlebih dahulu,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Festival Seni Bina Kuala Lumpur KLAF2020 anjuran Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) hari ini.

Hari ini, Khalid telah memberitahu wartawan yang hadir program pelancaran ‘Kempen KITA’ di Perumahan Awam Seri Perak bahawa ada kemungkinan tapak pembinaan kondominium itu runtuh kerana bangunan tidak ikut spesifikasi.

“Ia bukan tanah runtuh dan kejadian berlaku sebelum hujan.”Mungkin struktur bangunan itu sendiri tidak mengikut spesifikasi sehingga roboh dari tingkat enam ke bawah,” kata Menteri Wilayah itu.

Dalam kejadian runtuhan itu, dua warga Bangladesh dilaporkan terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam, dilaporkan runtuh ketika hujan lebat pada jam 3.40 petang.

Mangsa pertama diselamatkan pada jam 5.15 petang, manakala mangsa kedua pada jam 9.40 malam. Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Zuraida juga memberitahu Jabatan Peguam Negara akan menghentikan sementara Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) bagi tujuan penjualan sehingga siasatan selesai.

Setakat ini, kawasan pembinaan tersebut ditutup untuk sementara waktu bagi memberi laluan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) membuat penilaian. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Struktur kondominium di Taman Desa mungkin tidak ikut spesifikasi