Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menambah 120 penguatkuasa di Saloma Link (Pintasan Saloma) bermula minggu hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, beliau telah mengarahkan pertambahan penguatkuasa bagi memastikan tidak berlaku vandalisme dan masalah gelandangan di kawasan itu.

“Kementerian Wilayah Persekutuan sudah minta tambah penguatkuasa untuk jaga Saloma Link kerana ada masalah gelandangan dan vandalisme.

“Kita harap penguatkuasa dapat menjaga kawasan itu. Masalah sekarang ini adalah gelandangan, di tempat cantik di situlah yang mereka mahu lepak,” katanya ketika sidang media pada majlis Kenduri Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Komuniti Gombak Setia hari ini.

Jelasnya, 120 penguatkuasa DBKL ini akan ditugaskan di sana mengikut syif.

Dalam masa yang sama beliau berkata, peningkatan tenaga penguatkuasa ini adalah langkah proaktif Wilayah Persekutuan sebelum menambah kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya perlu.

Katanya, masyarakat masih memerlukan didikan berterusan agar  menjauhi vandalisme.

Saloma Link baharu sahaja dibuka kepada orang ramai minggu lalu tetapi sudah ada laporan kekotoran di kawasan itu.

Selain itu, ada juga yang mendedahkan gelandangan tidur di situ.

Saloma Link (Pintasan Saloma) dibuka 5 Februari lalu, menghubungkan pejalan kaki berdekatan stesen LRT Kampung Baru ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Menelan belanja sebanyak RM31 juta, jambatan berkenaan dibina sepanjang 370 meter merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (Akleh).- MalaysiaGazette