Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Pekhidmatan bas sekolah percuma di empat bandar utama di negeri ini akan bermula April depan.

Utusan Borneo Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata butiran perkhidmatan bas sekolah percuma itu telah siap dan kerajaan negeri memerlukan RM4 juta untuk melaksanakan inisiatif tersebut.

“Bas sekolah percuma, insya-Allah bulan April ini. Sekarang butirannya sudah siap. Datuk Lee Kim Shin (Menteri Pengangkutan) akan mengumumkannya nanti,” katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan amanatnya, Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata perkhidmatan bas sekolah percuma akan disediakan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bermula April ini.

Beliau berkata perkhidmatan bas sekolah percuma itu antara inisiatif kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mensejahterakan rakyat dan mempertahankan keadilan sosial di negeri ini.

“Kita akan sediakan perkhidmatan bas sekolah percuma di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri untuk anak-anak ke sekolah…GPS tanggung, akan kita laksanakan bulan April,” katanya.

Pada Disember tahun lalu ketika berucap pada majlis perasmian Pejabat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak Pengerusi GPS itu berkata bas berkenaan akan menyediakan perkhidmatan berdasarkan ‘hop on hop off’.

Ia bermakna pelajar boleh menaiki bas berkenaan untuk ke sekolah masing-masing dalam laluan disediakan, tambahnya.

“Kita sedang mengenal pasti beberapa laluan melibatkan kawasan Petra Jaya yang termasuk Matang serta di Kuching selatan hingga ke Tabuan Jaya.

“Kita tawarkan perkhidmatan bas sekolah percuma ini kepada semua, tidak anak-anak hanya penjawat awam negeri atau persekutuan, dengan harapan ia sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggungjawab ibu bapa bagi membayar tambang anak-anak ke sekolah,” katanya.

Inisiatif itu diumumkan Abang Johari ketika membentangkan Belanjawan 2020 sambil menambah kerajaan negeri akan memperkenalkan perkhidmatan bas sekolah percuma pada tahun ini di bandar-bandar utama Sarawak.

Abang Johari berkata, selain itu, perkhidmatan ini juga akan dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.