Topeng penutup mulut dan hidung digunakan bagi mencegah jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV). Foto tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Hospital Kuala Lumpur. -- SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) didakwa tidak serius dalam menangani wabak koronavirus baru, Covid-19 apabila masih gagal memastikan bekalan penutup mulut dan hidung dan cecair pembasmi kuman mencukupi.

Sedangkan, penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman itu adalah alat pelindung asas yang sangat diperlukan ketika sesebuah negara diancam wabak penyakit.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, pihaknya cukup bimbang dan prihatin apabila bekalan penutup hidung dan mulut masih belum mencukupi di pasaran seluruh negara.

Kekurangan bekalan itu menjadi tanda tanyanya kerana KPDNHEP telah menyatakan kekurangan bekalan itu akan diatasi secepat mungkin tetapi sehingga hari ini jaminan yang dinyatakan itu tidak berlaku.

“Situasi KPDNHEP seolah-olah ‘tangan kanan tidak tahu apa yang tangan kiri buat’,” katanya kepada MalaysiaGazette

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George meminta kerajaan menjelaskan tentang pelaksanaan SST dan sejauh mana kesannya kepada rakyat.
Dr Jacob George

Berikutan itu, beliau mempersoalkan adakah kementerian itu sudah menubuhkan petugas-petugas khas yang memantau secara dekat keperluan pengguna dalam menghadapi wabak koronavirus ini secara profesional.

Ini kerana, katanya, jika petugas-petugas khas itu sudah diwujudkan, masalah seumpanm ini tidak berlaku.

“Ini bukan kali pertama Malaysia berdepan dengan wabak-wabak penyakit seperti ini. Kita pernah berdepan dengan SARS yang juga tidak kurang bahayanya seperti koronavirus.

“Tetapi ketika itu, Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian lain bergerak dalam satu pasukan yang mantap. Disebabkan itu Malaysia dapat menangani wabak SARS dengan baik.

“Kalau dulu kita boleh hadapi dan tangani dengan baik, kenapa tidak hari ini.

“Saya mahu bertanya, adakah pegawai-pegawai KPDNHEP turun padang, pantau sama ada bekalan mencukupi atau tidak.

“Adakah mereka tahu kawasan mana yang tiada bekalan? Tahukah mereka berlaku perbezaan harga penutup mulut dan hidung di negeri dan kawasan tertentu?” soal Jacob.

Katanya, kekurangan bekalan penutup hidung dan mulut di pasaran sebenarnya menyebabkan rakyat panik dalam menghadapi wabak Covid-19 yang masih belum berakhir.

“Penularan wabak ini telah menyebabkan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap warga China dan pelancong asing semakin meningkat. Apatah lagi apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menasihati Malaysia supaya sentiasa bersedia menghadapi penularannya.

Artikel berkaitan:

Johor mohon sumbangan penutup hidung jenis R95

Kerajaan tak hadkan pembelian penutup mulut dan hidung

Penutup mulut, hidung masih tak cukup – Mah

Kekurangan bekalan penutup mulut masih belum selesai

“Kalau WHO pun sudah mengeluarkan kenyataan sedemikian, apakah maksudnya? Apa pula persiapan Malaysia, jika alat perlindungan asas pun tidak mampu disediakan?,” katanya.

Jacob berkata, usaha Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak ini tidak akan berhasil sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada kementerian-kementerian lain.

Menyentuh semula kekurangan bekalan penutup hidung dan mulut, beliau mempersoalkan adakah jumlah tambahan pengeluaran sebanyak 400,000 itu benar-benar mencukupi dalam situasi semasa atau sebaliknya.

“Kalau mencukupi, mengapa ia tidak berada di pasaran? Ke mana agaknya tambahan pengeluaran itu diagihkan? soalnya lagi.

Beliau berkata, dalam menghadapi situasi wabak, kementerian-kementerian yang terlibat tidak boleh sekadar menjuarai ‘kenyataan’ sahaja, sedangkan ianya tidak seiring dengan tindakan dan hasil.

Tegasnya lagi, ini belum lagi soal perbezaan harga penutup hidung dan mulut di kawasan-kawasan tertentu serta kenaikan harga cecair pembasmi kuman yang melampau.

“Pada saya masalah-masalah ini dapat ditangani dengan berkesan jika kementerian ini serius dalam memantau kes koronavirus ini yang masih belum ada penghujung.

“Meskipun kita belum berdepan dengan senario paling buruk tetapi ia bukan alasan untuk menafikan hak pengguna untuk mendapat perlindungan awal daripada jangkitan virus berbahaya ini,” kata Jacob.