Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad diiringi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew melihat persembahan silat semasa hadir pada Kenduri Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Komuniti Gombak Setia, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan berharap lebih banyak pemaju akan tampil sukarela menjadikan Projek Perumahan Rakyat di ibu kota sebagai anak angkat dengan mengadakan Projek Tanggungjawab Sosial  Korporat (CSR) yang dapat memanfaatkan penduduk.

Menterinya Khalid Samad berkata, dengan adanya CSR oleh pemaju bersama NGO,  penduduk PPR  khususnya kalangan generasi muda dapat meluangkan masa dengan perkara yang berfaedah.

Menerusi inisiatif seperti ini, masalah sosial di kawasan PPR akan dapat dikurangkan. 

Kata Khalid lagi, antara projek CSR yang boleh diadakan oleh pihak pemaju adalah program ilmiah, motivasi dan tuisyen.

“Masalah sosial malangnya datang daripada PPR dadah basikal ini semua kerana persekitaran. Bukan kerana budak-ini mahu jadi jahat tetapi kerana tidak ada kegiatan positif.

“Jadi kita mahu pemaju jadikan PPR anak angkat,  adakan program termasuk motivasi pendidikan tuisyen dan sebagainya,: katanya ketika menghadiri Kenduri Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Komuniti Gombak Setia.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Khalid berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan sentiasa menggalakkan penglibatan pihak swasta melalui program CSR sepanjang sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Beliau memaklumkan sebanyak 29 program diadakan sempena sambutan itu yang melibatkan program pengiktirafan, mesra rakyat, sukan dan rekreasi, ilmiah dan kerohanian, selain inisiatif mensejahterakan rakyat.

Beliau menjangkakan kementerian itu akan membelanjakan RM1.5 juta tahun ini untuk sambutan Hari Wilayah Persekutuan, berbanding RM2.5 juta tahun lalu. -MalaysiaGazette