Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berjaya memenangi jawatan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Simpang Renggam.

Beliau mengalahkan Ketua Penaja Bersatu bahagian itu, Ahmad Ahem, 62, dengan majoriti 132 undi dalam pemilihan parti yang diadakan malam tadi.

Maszlee memperoleh sebanyak 211 undi manakala pencabarnya  79 undi.

Menerusi Facebook beliau, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata: “Alhamdulillah. Dengan izin Allah, kemenangan telah berpihak kepada kita”.

Beliau turut mengucapkan berterima kasih kepada banyak pihak yang membantu ketika senang mahupun susah sambil berikrar untuk menggalas amanah dan tanggungjawab dengan baik dan semampu yang mungkin.

“Bersama kita merahkan Simpang Renggam, kuatkan parti dan sama-sama jadikan Johor sebagai kubu kuat Bersatu.

“Dari Simpang Renggam kita datang, kepada Simpang Renggam juga kita kembali berbakti,” ujarnya. – MalaysiaGazette