Benteng banjir telah diperkukuhkan di perkampungan Mytholmroyd selepas lebih 200 kediaman mengalami banjir pada minggu lalu. foto BBC

LONDON – Ribut Dennis diramal melanda Britain pada hari Sabtu, menyebabkan amaran banjir di banyak bahagian negara ini telah dikeluarkan.

Syarikat penerbangan dan perkhidmatan kereta api juga diramal terganggu ketika kebanyakan sekolah memulakan cuti separuh penggal.

Hujan lebat dan angin kencang akibat taufan Dennis diramal melanda selepas seminggu kedatangan taufan Ciara yang menyebabkan banjir, menjejaskan pengangkutan dan gangguan bekalan elektrik.

EasyJet memberi amaran tentang “gangguan yang signifikan” kepada operasinya dengan beberapa penerbangan dibatalkan ke Lapangan Terbang Gatwick.

Sementara itu Lapangan Terbang Luton menasihati penumpang untuk memeriksa dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum berangkat dari rumah.

Sejumlah 30 amaran banjir diramal berlaku di England dan 238 amaran banjir kemungkinan melanda dikeluarkan Agensi Alam Sekitar.

Sejumlah 75 anggota tentera membantu membina halangan dan membaiki pertahanan banjir di Yorkshire, utara England yang rosak selepas hujan lebat minggu lalu.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menggunakan semua cara untuk menangani kesan taufan Dennis,” kata Menteri Pertahanan Ben Wallace. – MalaysiaGazette