The Best of Langkawi Discovery
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementeri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Noor Zari Hamat (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See (dua kanan) bergambar bersama pesawat Firefly selepas Pelancaran Logo Visit Malaysia 2020 (VM2020) dan Pakej Pelancongan 'The Best of Langkawi Discovery' di Subang Skypark, Subang. foto FAREEZ FADZIL, 17 FEBRUARI 2020

SUBANG – Sebanyak 10 negeri telah bersetuju bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjual destinasi pelancongan masing-masing ke Berlin sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020), minggu depan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, itu antara usaha pihaknya untuk memastikan TMM2020 berjaya mencapai sasaran jumlah pelancong ke negara ini akibat wabak koronavirus (COVID-19).

“Minggu depan, saya dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof akan ke Arab Saudi untuk bertemu dengan pemain ataupun penggiat industri utama di Arab Saudi.

“Kemudian balik (Malaysia), kita akan ke Berlin sekali lagi untuk ‘menjual’ Malaysia. Setakat ini saya difahamkan ada 10 negeri akan bersama-sama (MOTAC) untuk ke Berlin nanti.

“Usaha bersepadu ini akan memberi lonjakan kepada industri pelancongan negara,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Logo (Livery) TMM2020 dan pakej pelancongan ‘The Best of Langkawi Discovery’ di Sky Park RAC Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya MOTAC juga akan mempergiatkan usaha untuk mempromosikan destinasi pelancongan Malaysia ke negara-negara jiran termasuk negara anggota ASEAN.

“Tahun lepas kita perhatikan lebih 65 peratus pelancong yang masuk adalah dalam kalangan ASEAN. Sekarang ini kita akan pergiatkan promosi kepada negara-negara jiran kita.

“Dalam masa sama, kita mengenalpasti sasaran-sasaran baru kita, termasuk negara Timur Tengah dan Asia Tengah, khususnya India.

“Ini kerana India pada 2018 ke 2019 peningkatan sekitar 22 peratus dan akan kita sasar pasaran di sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast