eWallet ePemula credit youths
Pengguna membeli barangan menggunakan aplikasi Touch 'n Go eWallet pada Pelancaran Inisiatif E-Tunai Rakyat di IOI City Mall, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Jumlah pengguna e-Dompet Touch ‘n Go telah bertambah sebanyak sejuta orang dalam tempoh 20 hari selepas kerajaan melancarkan e-Tunai Rakyat sebanyak RM30 kepada orang ramai yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘N Go Digital, Ignatius Ong berkata, setakat 21 Januari, jumlah pengguna e-Wallet Touch ‘n Go telah mencecah lapan juta orang.

“Sebanyak 30 peratus pengguna kami telah mendapat e-Tunai Rakyat sebanyak RM30, ” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, sasaran syarikat itu kini beralih kepada pasaran kecil sederhana yang mencakupi warung tepi jalan dan kedai kopi.

“Malaysia tidak boleh diubah menjadi masyarakat tanpa tunai jika penggunaan dompet elektronik tidak mencapai peringkat lorong-lorong kecil,” katanya.

Serm Teck Choon, Presiden Persatuan Digital Malaysia, bagaimanapun menjangkakan negara ini memerlukan lima hingga 10 tahun untuk menjadikan populariti e-Dompet setanding populariti di China.

Katanya, Malaysia bagaimanapun tetap mempunyai kelebihan sendiri kerana penggunaan telefon pintar yang mencecah 83 peratus di negara ini.

Menurutnya, Malaysia bagaimanapun  masih dalam langkah awal untuk mempopularkan e-Dompet.

“Langkah awal tidak bermaksud kita baru bermula. Kita sebenarnya sedang mahu melangkah besar untuk pembangunan dompet elektronik,” katanya.

Presiden Persatuan e-Dagang Malaysia, Shen Shi Dang pula berkata, e-Dompet digunakan secara meluas di China kerana penduduk negara itu lebih sukar memohon kad kredit.

Katanya, China pada peringkat awal juga berdepan masalah memperluaskan penggunaan e-Dompet, terutamanya kerana timbul pelbagai kes penipuan yang berkaitan dengannya.

“Kerajaan China terpaksa memperkenalkan undang-undang ketat untuk membendung kes penipuan.

“Apabila penipuan berjaya dikurangkan, penggunaan e-Dompet juga semakin mendapat sambutan,” katanya. – MalaysiaGazette