Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran bersama Ketua Pegawai Eksekutif KipleUni, Tan Kay Yen (kiri) dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) pada Majlis Pelancaran Program KipleUni di Le Meridien Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan syarikat teknologi kewangan, KiplePay Sdn. Bhd. (KiplePay) melancarkan KipleUNI yang merupakan program kerjasama yang direka khas untuk memacu teknologi kewangan menerusi transaksi digital dan transaksi tunai.

Program itu bertujuan memenuhi keperluan pelajar, universiti dan rakan-rakan saudagar melalui transaksi pembayaran elektronik serta platform digital yang lebih lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, para pelajar kini boleh menghubungkan kad kredit atau debit mereka bagi pembayaran terus tanpa tunai dalam kawasan universiti serta saudagar-saudagar terpilih di luar kampus.

“Semua transaksi e-kad melalui aplikasi KiplePay akan dipermudahkan melalui portal gerbang perkhidmatan pembayaran Bank Islam yang dipertingkatkan. Ini hanyalah permulaan kepada pelbagai lagi inisiatif bersama yang akan muncul daripada program KipleUNI pada masa akan datang.

“Bank Islam sentiasa berinovasi untuk memberikan nilai tambah kepada pelanggannya di segenap segmen. Dalam hala tuju perbankan digital Bank Islam, kami memanfaatkan kepakaran KiplePay untuk menyediakan platform yang meningkatkan pengalaman pelanggan, di samping menyokong usaha kerajaan dalam mengembangkan agenda ekonomi digital.

“Program KipleUNI bakal menjadi alat pemangkin dalam memacu masyarakat tanpa tunai, khususnya di kalangan universiti dan para pelajar,” katanya pada majlis pelancaran program KipleUNI di sini hari ini.

Turut hadir , Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay, Tan Kay Yen dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid.

KiplePay merupakan anak syarikat milik penuh Green Packet Berhad dan penyedia perkhidmatan e-dompet diluluskan Bank Negara Malaysia.

Aplikasi KiplePay pada Majlis Pelancaran Program KipleUni di Le Meridien Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 FEBRUARI 2020

Mohd. Muazzam menambah, pada masa ini, perkhidmatan KipleUNI boleh digunakan di Universiti Utara Malaysia dan ia dijangka akan tersedia kepada tiga hingga lima universiti lain dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Tidak terhad kepada universiti-universiti ini sahaja, semua rakan-rakan saudagar Bank Islam yang beroperasi di mana-mana universiti awam pada masa ini boleh menikmati perkhidmatan KipleUNI setelah langganan dibuat,” katanya.

Sementara itu, Kay Yen berkata, sebagai rakan kewangan digital yang dipercayai ramai, pihaknya memandang insiatif ini sebagai tanggungjawab dan komitmen untuk mempertingkat nilai solusi terhadap pelajar, pentadbir dan saudagar di hab pelajaran, kampus-kampus dan bandar universiti.

“Inovasi solusi kami perkembangkan daripada pembelajaran berterusan, ujian-ujian setempat sehingga memahami keperluan spesifik komuniti.

“Melalui langkah-langkah ini, kami mewujudkan program KipleUNI yang merupakan sebuah ekosistem mampan dan holistik yang mempromosikan gaya hidup digital kepada pengguna,” ujarnya. – MalaysiaGazette