KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita 14 di sekitar Pasar Borong Selayang kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Pengarah jabatan korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, dalam operasi yang bermula pukul 10 pagi itu, sebanyak sembilan daripada 14 gerai terbabit merupakan miliki warga tempatan manakala lima lagi dimiliki warga asing.

“Tindakan sitaan dilaksanakan di bawah Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Halangan Tred Perniagaan) serta mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan oleh MPS dan agensi lain yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu disertai lebih 90 anggota melibatkan pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

Dalam pada itu, JPJ mengeluarkan 14 notis bagi kesalahan tiada cukai jalan, tiada insurans dan kesalahan berkaitan tempat letak kereta.

Mohamad Zin mengingatkan, tindakan tegas akan dikenakan ke atas penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan tidak dibenarkan terutama di kawasan awam. – MalaysiaGazette