PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bujang ditemui meninggal dunia di sebuah kondominium di Bangsar hari ini.

Mangsa dikenalpasti sebagai warga tempatan berusia 44 tahun dan bekerja di sebuah syarikat di Jalan Bangsar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, polis menerima panggilan dari pada pengawal keselamatan yang bertugas di kondominium tersebut.

“Polis menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memaklumkan dia ada menjumpai mayat lelaki di sebuah bilik di kondominium di kawasan Brickfields.

“Siasatan awal polis mendapati mayat lelaki tersebut adalah berbangsa Cina tempatan berumur 44 tahun dan bekerja di sebuah syarikat di Bangsar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau mangsa belum berkahwin dan telah menyewa bilik studio seorang diri.

“Polis turut menjumpai satu nota yang menulis pesanan kepada ibu dan abang mangsa.

“Turut ditemui di bilik itu ubat-ubatan disyaki milik mangsa dan si mati dipercayai mempunyai masalah berkaitan jantung.

“Forensik hadir telah membuat pemeriksaan ke atas mayat si mati dan mengesahkan tiada sebarang kesan atau unsur jenayah terhadap anggota badan mangsa dan mayat dihantar ke Hospital terdekat untuk dibedah siasat sementara ahli keluarga simati dimaklumkan mengenai kejadian itu,” tegasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah dinasihati menghubungi polis di talian IPD Brickfields 03-2297 9222.- MalaysiaGazette