Saksi yang juga bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Kementerian Kewangan (MOF) bersikap tidak adil kepada Kementerian Pendidikan apabila meluluskan projek solar hibrid tanpa peruntukan tambahan.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berkata, ini kerana sekitar tahun 2016, Peruntukan Perbelanjaan Mengurus Semasa jelas tidak cukup untuk menampung projek yang dianugerahkan kepada Jepak Holdings bernilai jutaan ringgit.

“Dalam peraturan kewangan saya rasa Kementerian Kewangan berlaku tidak adil kepada Kementerian Pendidikan kerana memberi kelulusan dengan menggunakan peruntukan belanja mengurus tahun semasa,” katanya sebagai saksi perbicaraan tuduhan rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.

Oleh sebab itu, Madinah mengutus surat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pada 2 September 2016 bagi memohon peruntukan tambahan.

Mengulas lanjut beliau berkata, projek solar hibrid itu satu-satunya projek yang dilihatnya diluluskan secara tergesa-gesa.

Langkah yang sepatutnya diambil ujar Madinah ialah penilaian perancangan projek peringkat kementerian oleh jawatankuasa teknikal sehingga ke peringkat Kementerian Kewangan iaitu mengambil masa lebih kurang setahun setengah hingga dua tahun untuk mendapat kelulusan pelaksanaan.

“Kementerian kena teliti dahulu apakah cadangan itu merupakan perancangan di pihak kementerian.

“Peruntukan (tambahan) ini pula perlu dipohon di Parlimen untuk tambahan bajet sekiranya tidak ada diperuntukkan peruntukan tahunan. Kalau tempoh yang munasabah lebih setahun setengah hingga ke dua tahun sehingga arahan dari Kementerian Kewangan sempurna,” ujarnya. 

Madinah merupakan saksi keenam pendakwa pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette