Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) diiringi Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Junaidah Kamarruddin (dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (kiri) dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Tabung Prihatin untuk Yayasan Kebajikan Negara Jabatan Kebajikan Masyarakat (YKN-JKM) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai dipelawa menyumbang kepada Tabung Prihatin Yayasan Kebajikan Negara (YKN) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.

Sumbangan ke tabung berkenaan boleh dilakukan melalui aplikasi QR Pay Maybank2U dan akan diberikan resit pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ketua Pegawai YKN, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, tabung itu merupakan tabung khas untuk pemberian bantuan segera kepada golongan yang memerlukan dan diselaras oleh YKN.

Katanya, penerima bantuan daripada tabung itu merupakan golongan sasar yang tersenarai dalam rekod JKM.

“Dengan wujudnya tabung ini, kita boleh memberi bantuan dengan segera di mana pengerlauaran kewangan dibuat melalui prosedur YKN.

“Kita pun dah ada prosedur untuk menyalurkan bantuan itu menerusi keputusan internal yang kita perlu patuhi malah ia perlu dibuat dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran tabung berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama menyaksikan pelancaran itu Timbalan Perdana Menteri, Datu Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiusaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Junaidah Kamarruddin dan Ketua Pengara Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail.

Menurut Che Asmah, penerima tabung itu mesti warganegara Malaysia dan dikategorikan sebagai miskin serta kurang berkemampuan dengan diperakui dan sdisahkan oleh pegawai JKM mengenai kedudukannya itu.

Katanya, mereka juga mestilah penerima yang tergolong dalam kumpulan terdesak serta tergolong dalam kategori mangsa bencana yang memerlukan perhatian segera.

Sehubungan itu kata beliau, pihak-pihak yang ingin berbuat demikian bolehlah menyumbang menerusi akaun Yayasan Kebajikan Negara Malaysia dengan menggunakan akaun Maybank di nombor 568621017986 – MalaysiaGazette