Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof bersama Pengerusi Ko-Best, Datuk Mazlan Hashim bergambar kenangan dengan rakan-rakan strategik perniagaan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Berhad (Ko-Best) di Plaza Grand Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan gerakan koperasi diingatkan agar tidak menjadikan kutipan kewangan daripada ahli sebagai bayaran dividen.

Sebaliknya, setiap koperasi perlu menjana perniagaan yang boleh mengembangkan keuntungan untuk dijadikan pulangan kepada pelabur dalam kalangan ahli koperasi, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof.

Beliau berkata, terdapat beberapa koperasi yang mengumpulkan dana untuk mewujudkan saham tetapi aktiviti perniagaannya berkurangan namun tetap mahu membayar dividen.

“Mereka telah menjadikan pungutan saham itu sendiri sebahagiannya untuk membuat bayaran dividen. Sebenarnya saham itu untuk dilaburkan bagi menjana pendapatan dan pendapatan itulah yang patutnya diagihkan sebagai dividen. Bukannya saham itu diagihkan sebagai dividen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU), Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Berhad (KO-BEST) di sini hari ini.

Disebabkan itu, Mohd Redzuan berkata, kementeriannya terpaksa mengambil langkah untuk memberikan kefahaman terhadap perkara-perkara tertentu melibatkan kos pelaburan, kos perniagaan dan cara mengurus kewangan kepada ahli koperasi.

Ujarnya, mereka turut dilatih untuk memahami gerakan koperasi masing-masing agar tidak ketinggalan dan pelbagai institusi turut berkolaborasi bagi memberi kefahaman kepada ahli koperasi berkenaan supaya mereka mendalami budaya keusahawanan.

“Sebenarnya saham itu untuk dilaburkan bagi menjana pendapatan dan pendapatan itulah yang sepatutnya dijadikan dividen dan bukannya saham itu dijadikan dividen. Jadi, kita kena beri kefahaman kepada mereka ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette