Saksi yang juga bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-6 perbicaraan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak ditempelak beberapa kali oleh peguam bela ketika pemeriksaan balas sebentar tadi.

Saksi, bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad cuba kelihatan seperti tenang namun ada kalanya cuba untuk menjelaskan dengan lebih terperinci bagi jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’.

Bagaimanapun sebelum sempat Madinah menjelaskan lebih lanjut, peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader memotongnya berkali-kali dan berkata beliau tidak berminat untuk dengar penjelasan itu.

Akberdin beberapa kali pada perbicaraan yang masuk hari ke-8 ini mendakwa Madinah sebenarnya sudah ‘terperangkap’ sehingga terpaksa mencari kambing hitam bagi menutup kecuaian serta menyembunyikan agenda peribadinya dalam kes projek solar melibatkan nilai RM1.26 bilion itu.

Soal Akberdin, apakah sebenarnya niat serta pendirian Madinah sekiranya jika benar-benar tidak bersetuju dengan pelaksaan projek solar hybrid namun pada masa sama tidak ada usaha dari pihaknya untuk menasihati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Jagjit Singh (kiri) hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2020.

Malah Akberdin juga bertanya apakah sebenarnya niat Madinah ketika memohon Surat Setuju Terima (SST) sebelum persaraan beliau.

Akberdin: Jawapan yang kamu berikan semua ini seolah-olah apabila sudah tersepit, kamu cari kambing hitam, bukan begitu Tan Sri?

Madinah: Tidak betul.

Akberdin: Jika tidak betul, mengapa yang berjawatan Ketua Setiausaha KPM tidak bertindak menasihati Perdana Menteri dalam pelaksanaan projek solar? Sekiranya kamu tidak bersetuju mengapa tidak kamu nasihatkan beliau. Beri penjelasan yang sepatutnya.

Madinah: Tidak benar.

Akberdin: Adakah kamu bersetuju walaupun Perdana Menteri telah memberi arahan melalui Menteri Pendidikan, projek itu masih boleh boleh tidak dilaksanakan sekiranya tidak mengikut garis panduan? Jadi kamu masih berkuasa untuk mematuhinya? Bukan begitu?

Madinah: Betul.

Akberdin: Kamu yang kata kamu tidak meluluskan projek kerana ada konflik kepada kementerian kamu jika tidak ikut arahan. Jadi mengapa tidak ‘follow up’?

Madinah: Ya saya tidak dapat lakukan susulan itu.

Akberdin: Anda juga sepatutnya sudah dapat menasihatkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzhir Khalid untuk menolak sahaja cadangan Jepak Holdings? Mengapa tidak dilakukan?

Madinah: Ya, saya bersetuju.

Akberdin: Perdana Menteri adalah seorang yang sangat sibuk dengan pelbagai tugasan, ini pula melibatkan nilai berbilion ringgit, sebagai penjawat awam bukankah anda sepatutnya menasihati Perdana Menteri terlebih dahulu?

Madinah: Tidak benar.

Akberdin: Tan Sri, saya katakan kepada anda, kamu sebenarnya lalai dalam janlankan tanggungjawab kamu dalam kes Jepak Holdings ini. Kamu gagal beri nasihat yang sepatutnya kepada Perdana Menteri.

Kamu juga ada agenda tertentu sehingga ‘bermati-matian’ mahu projek ini di uluskan, kerana itu juga sebelum bersara kamu masih lagi sempat menandatangani surat SST itu.

Madinah: Tidak benar.

Madinah berkata demikian ketika soal balas berhubung dakwaan rasuah bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar oleh syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd di 369 sekolah luar bandar di Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi.

Semalam Madinah mendedahkan pemberian projek bernilai RM1.25 bilion untuk memasang sistem solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak tidak mengikut prosedur.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berjalan keluar selepas pada perbicaraan kes rasuah sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2020.

Rosmah ketika ini sedang berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai dorongan untuk membantu Jepak mendapatkan projek mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Penjana/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung esok. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast