Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA- Masalah penyalahgunaan dadah perlu menjadi agenda utama semua pihak kerana ia boleh memberi implikasi kepada keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya isu itu tidak diuruskan dengan baik, pelencongan sosial akan menjadi semakin serius dalam masyarakat.

Dengan itu katanya, kementerian telah mengaturkan strategi yang lebih berkesan dan agresif dalam pelaksanaan program-program pendidikan pencegahan dadah melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) seperti memperkenalkan Projek Rintis Inisiatif Bersepadu Bagi Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial di 12 buah kawasan di tujuh buah negeri.

Sejak diperkenalkan pada tahun lepas, AADK telah melaksanakan sebanyak 764 program dengan penglibatan sebanyak 52 buah agensi kerajaan dan sebanyak 173 buah badan bukan kerajaan (NGO).

“Sejak diperkenalkan, Projek Rintis telah menyumbang kepada penurunan kes jenayah kecurian sebanyak 32.7 peratus; penurunan kes pelajar ponteng sekolah sebanyak 18 peratus; penurunan aduan jenayah sebanyak 2.3 peratus; penurunan aduan dadah sebanyak 10 peratus; penurunan port penagihan sebanyak 12.9 peratus; peningkatan klien sukarela sebanyak 131.8 peratus; dan peningkatan pelajar keciciran kembali ke sekolah sebanyak 27.8 peratus,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan di Majlis Pelancaran Bulan Anti-Dadah Kebangsaan 2020 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Muhyiddin,berdasarkan hasil yang menggalakkan itu, Projek Rintis terus dilaksanakan pada tahun ini, di mana AADK telah diperuntukkan sebanyak RM 15 juta seperti yang telah diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020.

Tambahnya, projek tersebut akan diperluaskan ke kawasan-kawasan berisiko yang lain.- MalaysiaGazette