Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan perkembangan terkini Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 18 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Dua rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Diamond Princess yang disahkan positif Covid -19 akan menerima rawatan di Jepun, kata Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan itu memberitahu, keputusan itu bertepatan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) di negara berkenaan.

“Kita izinkan mereka dirawat di sana (Jepun), itu adalah protokol, mereka akan dirawat di sana sehingga sembuh,” katanya ketika sidang media perkembangan harian Covid-19 di sini hari ini.

Semalam media melaporkan seramai 455 penumpang kapal itu disahkan positif Covid-19 sehingga kini.

Kapal persiaran itu tiba di perairan Jepun pada awal Februari membawa lebih 3,700 penumpang dan anak kapal dari lebih 50 negara.

Ia dikuarantin selepas pihak berkuasa menemui penumpang yang turun dari bot di Hong Kong ketika pelayaran kapal itu positif virus berkenaan.

Dalam pada itu, KKM masih menunggu laporan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bekerjasama dengan Kementerian Luar dalam  proses pengurusan seramai 34 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan.

Beliau berkata sebarang perkembangan semasa akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“NADMA sedang menguruskan dan kita tunggu laporan NADMA dan kerjasama Kementerian Luar. Saya yakin kalau ada apa-apa komunikasi akan dibuat oleh TPM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast