Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Raha Abdul Rahim (lima dari kiri) sewaktumerasmikan Majlis Pelancaran Logo dan Sambutan Ulang Tahun UTeM ke 20 di Dewan Canselor, kampuk induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.-Gambar UTem.

KUALA LUMPUR – Tahun ini genap usia 20 tahun penubuhan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM).

UTeM telah mula ditubuhkan pada 1 Disember 2000 terus melakari pelbagai pencapaian kejayaan dan kecemerlangan di peringkat nasional dan pentas dunia selama dua dekad penubuhannya.

Selari itu, Majlis Pelancaran Logo dan Sambutan Ulang Tahun ke 20 UTeM telah diadakan baru-baru ini bertempat di Dewan Canselor, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Raha Abdul Rahim berkata, antara objektif majlis berkenaan adalah untuk mengimbau kembali sejarah penubuhan UTeM sebagai universiti teknikal pertama di Malaysia.

Jelasnya, antara pengisian utama dalam majlis tersebut adalah pelancaran logo sambutan ulang tahun ke-20 UTeM serta peletakkan logo berkenaan pada setiap bahan promosi universiti.

Katanya, pada majlis yang sama turut diedarkan lapel pin edisi khas sambutan ulang tahun ke-20 UTeM kepada warga universiti yang hadir.

Sebahagian daripada kakitangan UTeM menunjukkan lapel pin edisi khas sempena 20 tahun penubuhan UTeM.

Menurut Raha, bersempena dengan 20 tahun UTeM, pelbagai program dan agenda berimpak turut telah dirancang dan akan diadakan sepanjang tahun ini.

Antaranya adalah Grand Orchestra Concert, Karnival keajaiban Sains, Forum Inovasi Malaysia serta program berkaitan dengan akademik, kesenian dan kebudayaan, kesukanan, tanggungjawab sosial korporat serta STEM.

Terdahulu majlis pelancaran logo dan sambutan penubuhan UTeM ke 20 tahun diadakan sejurus selesai Majlis Perutusan Naib Canselor UTeM 2020.

Turut hadir pada majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dr Zulikilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, pengurusan tertinggi serta lebih 1,300 orang kakitangan UTeM.- MalaysiaGazette