JOHOR BAHRU – Penyanyi veteran, Zaleha Hamid yang diserang angin ahmar sejak Disember lepas, kini sudah mula menunjukkan perkembangan positif.
Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55, berkata Zaleha atau nama penuhnya, Siti Zaleha Abdul Hamid, 65, yang diserang angin ahmar pada sebelah kiri badan, sudah mampu menggerakkan jari kaki dan tangan kirinya, minggu lepas.
Beliau berkata perkembangan positif tersebut memberi harapan buatnya untuk melihat isterinya yang mesra dipanggil ‘Mama’ kembali ceria seperti dahulu.
“Seminggu lepas, Mama (Zaleha Hamid) sudah mula boleh menggerakkan jari kaki dan tangan kiri, malah selepas sebulan sakit, Mama juga sudah boleh rasa (deria) sakit di bahagian badan.
“Saya dan anak, kalau boleh setiap kali selepas mandi mesti akan urut seluruh badan, menggerakkan tangan dan kaki, bersenam sedikit supaya kaki dan tangan Mama tidak kejang,” katanya yang ditemui pemberita di rumahnya di Taman Skudai Baru, di sini hari ini.
Terdahulu, Ungku Sulaiman menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar menerusi Program Ziarah Kasih anjuran Kelab Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor.
Bapa kepada dua anak lelaki itu berkata terdapat beberapa rakan artis seperjuangan isterinya seperti penyanyi veteran Kamalia Latiff dan A. Rahman Onn yang sentiasa memberi kata-kata semangat selain melawat serta menghulurkan bantuan.
Beliau berkata, pertuturan Zaleha kini turut terbatas selepas diserang sakit berkenaan selain perlu memakai lampin pakai buang dan diberi susu melalui tiub.
“Kini, Mama tidak boleh tertinggal ubat cairkan darah dan ubat bagi menurunkan tahap kalsium yang dibekalkan Hospital Sultanah Aminah.
“Mama juga disyaki ada tiroid tetapi saya berharap Mama cepat sembuh dan ceria seperti selalu sebab doktor pakar menjelaskan angin ahmar Mama ini mungkin boleh sembuh dalam masa enam bulan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata pihaknya akan membantu mempercepatkan sebarang urusan perubatan Zaleha di hospital.
Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan Majlis Kebudayaan Negeri Johor akan melihat bantuan lain yang boleh diberikan kepada penyanyi berkenaan dan melakukan lawatan dalam masa terdekat.
Zaleha yang merupakan anak kelahiran Taiping, Perak dan popular dengan lagu Dangdut Reggae, sebelum ini dilaporkan terjatuh di bilik air ketika mahu mengambil air sembahyang pada waktu subuh, Disember lepas, sebelum disahkan mengalami angin ahmar.
Kejadian itu berlaku selepas beberapa hari penyanyi popular pada era 80-an itu membuat persembahan di program realiti Gegar Vaganza, di ibu negara.- BERNAMA
Cuba2 berubat di Perlis