Saksi yang juga bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menegur soalan-soalan yang dikemukakan oleh peguam bela ketika pemeriksaan balas saksi dalam kes rasuah melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebentar tadi.

Keadaan gamat seketika terutamanya dalam galeri awam, juga di bilik video khas untuk media yang mengikuti kes rasuah berprofil tinggi melibatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Mahkamah Tinggi hari ini.

Peguam bela Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika melakukan pemeriksaan balas ke atas saksi ke-6 iaitu bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mula menyoal serta memberikan maklumat peribadi berkaitan kehidupan wanita itu kepada umum.

Akberdin yang terlebih dahulu memohon maaf kepada Madinah serta memberitahu kepada mahkamah dirinya tidak ada apa-apa niat untuk mengaibkan saksi, kemudian mula menyoal sesuatu yang bersifat peribadi dan seolah-olah tidak berkaitan dengan kes tersebut.

Peguam itu cuba mengaitkan betapa hubungan saksi dengan tertuduh sebenarnya agak akrab sehingga boleh berkongsi isu peribadi ketika lawatan rasmi ke Amerika Syarikat (AS) beberapa tahun lepas.

Itu membuatkan wajah Madinah berubah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Akram Gharib kemudian bangkit membantah soalan serta tuduhan yang dianggap tidak relevan.

Malah, kata Mohd Akram, ada beberapa seksyen di dalam Akta Keterangan yang terang-terangan mengatakan mahkamah hendaklah melarang sebarang soalan yang berniat untuk menghina atau mencetuskan kebimbangan.

Ketua Pendakwa, Datuk Seri Gopal Sri Ram juga bangun dan menuduh soalan seumpama itu sebenarnya cubaan untuk menghina saksi ketika memberikan keterangannya.

Mohamed Zaini kemudian dalam nada tegas membantah cara Akberdin dan bertanya niat peguam bela itu bertanyakan soalan yang menyentuh keperibadian saksi.

Peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Jagjit Singh (kiri) hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2020.

“Dalam mahkamah saya, saya tidak boleh tidak benarkan soalan seperti ini. Saya mahu kenyataan peguam bela ini dihapuskan dalam rekod mahkamah.

“Pihak media juga tidak boleh melaporkan kenyataan tadi,” katanya.

Akberdin kemudian ‘memperbetulkan’ soalan beliau dan kemudian bertanya pengesahan seandainya Madinah ada berkongsi kisah peribadinya dengan Rosmah.

Madinah hanya mengangguk dan kemudian berkata ‘ya, ada’.

Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 FEBRUARI 2020.

Prosiding bersambung selepas itu dengan soalan-soalan menjurus kepada pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor oleh Akberdin.

Rosmah ketika ini sedang berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi Rizal Mansor.

Nilai itu didakwa sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 buah sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast