Jamil Rakon (tengah), Abdul Hamid Bador (dua kanan) dan Ir Kamaluddin Abdul Rashid (dua kiri) menerima replika kunci dari Wakil syarikat kontraktor Sword Elevator Sdn Bhd sebagai simbolik penyerahan siap kerja pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Masalah kerosakan lif di asrama dan kuarters polis dijangka selesai tidak lama lagi apabila projek penggantian 242 lif di seluruh negara dimulakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta dan tambahan RM22 juta untuk tujuan tersebut.

“RM100 juta akan digunakan untuk pembaikan dan penggantian 201 lif dan begitu juga RM22 juta untuk 41 unit lif digantikan di pejabat serta kuarters seluruh negara.

“Kerja-kerja pembaikan dan penggantian daripada kontraktor yang dilantik menerusi penilaian dan kelulusan Jabatan Kerja Raya sudah disegerakan dan dijangka dimulakan tidak lama lagi,” katanya dalam Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah JKR, Ir Kamaluddin Abdul Rashid.

Ditanya tempoh selesai,  Kamaluddin berkata, bajet yang diperolehi tahun lepas akan digunakan untuk penggantian 201 lif  dan akan disiapkan dalam masa sembilan bulan lagi.

Manakala proses tender untuk penggantian 41 lagi lif menggunakan RM22 juta akan dibuka dalam masa terdekat.

Abdul Hamid berkata, sebaik kerja penggantian dan pembaikan lif selesai, kuarters polis di Pulapol dan Perumahan Balai Polis Pantai, masing-masing  akan menerima peruntukan RM6.2 juta dan RM1.5 juta untuk kerja-kerja pembaikan.

“Kerja-kerja pembaikan melibatkan pendawaian elektrik, pembaikan semula bumbung, bilik air, sistem bekalan air serta sisa kumbahan sedang dilaksana dan dijangka siap pada Januari dan April 2021,” katanya sambil menasihati warga PDRM sentiasa menjaga kemudahan dan memantau vandalisme yang boleh merugikan semua.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast