Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – MCA mempelawa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bersama-sama membeli penutup mulut dan hidung bersama rakyat di Watson, AEON Mall Seremban 2, pada hari Sabtu ini.

Jemputan itu dikeluarkan oleh Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA, Ng Kian Nam selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu didakwa tidak dapat menamakan sekurang-kurangnya satu kedai di setiap negeri yang masih menjual penutup hidung dan mulut.

Susulan kegagalan itu, MCA mahu Saifuddin berhenti menipu rakyat dan memohon maaf.

Ng menegaskan, walaupun kerajaan menekankan bahawa tiada keperluan untuk memakai topeng muka, tetapi ini tidak bermaksud keperluan asas rakyat untuk membeli penutup mulut dan hidung harus diabaikan begitu sahaja, terutama dalam kalangan kumpulan kerja berisiko tinggi.

Sedangkan, menyediakan keperluan itu merupakan tanggungjawab asas kerajaan untuk memastikan rakyatnya dapat membeli penutup mulut dan hidung langkah pencegahan Covid-19 dalam tempoh yang kritikal ini.

Beliau mendakwa kerajaan Malaysia seakan-akan membelakangkan rakyat sendiri apabila masih membenarkan lima pengilang topeng muka tempatan yang hanya ada bekalan terhad untuk terus mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara demi meraih keuntungan yang lebih besar.

“Adakah Menteri KPDNHEP masih tidur atau tersalah pakai topeng mata sehingga tak nampak sengsara rakyat sebenar?

“Lebih-lebih lagi, pada masa rakyat jelata semakin terdesak kerana kekurangan topeng muka untuk melindungi diri daripada wabak ini, Menteri Saifuddin pula masih enggan mengakui hakikat ini dan sebalinya mengatakan bahawa Taiping masih ada bekalan topeng muka dan hanya negeri-negeri tertentu seperti Johor mengalami kekurangan stok,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu, demi memberi Saifuddin peluang membuktikan kebenaran dakwaan beliau bahawa masalah kekurangan topeng muka di Malaysia hanya suatu ilusi , Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA menjemputnya bersama-sama rakyat membeli topeng muka di lokasi yang ditetapkan.

Biro itu telah menetapkan jemputan pada jam 11 pagi.

Ng berkata, pihaknya memilih Watsons kerana ia merupakan antara rangkaian kedai farmasi yang terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 500 cawangan di seluruh negara.

Lantaran itu ia adalah indikator yang amat sesuai untuk menentukan sama ada negara masih ada bekalan penutup muka dan hidung mencukupi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. itu lah kerja menteri sibuk nak kelahi je. nak tunjuk dia bela rakyat . tapi mca ni memang bagus banyak jasa pada rakyat.

Comments are closed.