Salah satu sidang media MH370 oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein semasa memangku Menteri Pengangkutan. - foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR- Bekas Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika insiden kehilangan MH370 menegaskan bahawa pasukan penyiasat tidak pernah melaporkan kepada beliau sebarang jawapan konklusif yang menyebabkan kehilangan pesawat tersebut.

Katanya, sepanjang memegang jawatan tersebut, kerajaan Malaysia meneroka setiap petunjuk dan kemungkinan berhubung kehilangan pesawat malang itu termasuk spekulasi, teori mahupun sebarang maklumat yang diperolehi ketika ini.

Kesemuanya dilakukan dengan kerjasama pihak-pihak berkuasa antarabangsa.

“Sepanjang tempoh penyiasatan, maklumat dan petunjuk baharu sentiasa muncul dan saya secara konsisten mahukan maklumat-maklumat tersebut disahkan dengan betul dan setiap bukti dikoroborasi sebelum tindakan susulan di ambil.

“Bagi kepentingan umum, saya juga berkongsi setiap perkembangan penyiasatan secara berjadual terutamanya semasa taklimat media harian dan temuramah.

“Malangnya, sehingga perkhidmatan saya berakhir sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan, pasukan penyiasat tidak pernah melaporkan kepada saya sebarang jawapan konklusif.

“Mendedahkan sebarang maklumat tanpa koroborasi akan menjejaskan siasatan yang sedang berjalan dan tidak adil kepada keluarga penumpang dan masyarakat awam.

“Itu tidak bertanggung jawab dan tidak sensitif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ini sekali gus menafikan kenyataan bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbot yang mengatakan kerajaan Malaysia percaya kesemua penumpang dan anak kapal pesawat yang hilang secara misteri itu dibunuh oleh juruterbang mereka sendiri.

Ahli Parlimen Semberong itu juga merayu kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat relevan berkaitan insiden tersebut untuk tampil membantu pihak berkuasa.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing.

Ia gagal dihubungi selepas 40 minit selepas berlepas ketika berada di Laut China Selatan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

MH370: Pembunuhan beramai-ramai oleh juruterbang – Tony Abbott