Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar kenangan pada Simposium HELP University 'The Construct Of A Nation' di Connexion Conference and Event Centre, Bangsar South, Kuala Lumupur. foto IQBAL BASRI, 20 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peralihan kuasa akan selesai apabila tiba tempoh masanya.

Malah tegasnya, perkara itu sudah menjadi sebahagian daripada perjanjian yang telah dipersetujui dan fokus utama kini adalah memberi perhatian terhadap langkah meningkatkan tahap ekonomi.

“Perdana Menteri  (Tun Dr. Mahathir Mohamad)telah berkata selepas perbincangan saya dengannya bahawa ia akan melepaskan jawatan selepas persidangan APEC.

“Jadi, kita akan berurusan dengan itu dan saya tidak fikir sesiapa sahaja perlu diletakkan di bawah tekanan. Baik saya atau Tun Mahathir.

“Dan sekali lagi saya mengulangi, kedua-duanya harus diberi ruang dan Majlis Presiden PH (Pakatan Harapan) telah membuat keputusan bahawa perubahan itu harus dilakukan secara tenang, teratur dan kita masih tetap bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Simposium Pembetukan Negara anjuran Universiti Help di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar ketika diminta mengulas mengenai pandangan Pas apabila mengatakan perjanjian peralihan kuasa yang dimuktamadkan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, parti itu perlu membaca perlembagaan sepenuhnya dan memahami sejarah negara ini.

Ujarnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas itu sendiri secara jelas bertentangan dengan semua sejarah dan Pas tidak perlu mempersoal langkah yang hendak dilakukan oleh PH.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa sekiranya perjanjian itu benar-benar wujud, maka ia bercanggah dengan undang-undang dan dianggap sebagai tidak sah.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, langkah yang hendak dilakukan oleh PH itu sebagai bercanggah dalam Perlembagaan Persekutuan dan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Malah, dalam urusan pelantikan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong tidak memerlukan nasihat daripada mana-mana pihak apatah lagi apabila ada desakan dan tekanan jelas oleh PH. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.