Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi meluangkan masa melawat tapak pameran pada Majlis Perasmian My Malaysia Experience sempena Visit Malaysia 2020 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Penggiat industri pelancongan dalam negara disaran supaya memperhebatkan lagi kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 dalam usaha menggalakkan orang ramai memilih destinasi pelancongan domestik sebagai pilihan percutian mereka.

Malah, bukan setakat pelancong tempatan, kempen tersebut juga haruslah mampu menarik minat pelancong asing yang sudah berada di dalam negara dan bimbang untuk ke negara lain berikutan ancaman penularan wabak koronavorus (Covid-19), kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohammaddin Ketapi.

“Saya telah memberitahu kepada industri-industri kita supaya kempen promosi Tahun Melawat Malaysia di dalam negara kita, kalau boleh sentiasa diadakan dan kalau boleh diperhebatkan dalam sebulan atau dua bulan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Myexperience sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di sini hari ini.

Mohammaddin berkata, penggiat industri seperti perhotelan telah memulakannya apabila menawarkan diskaun sehingga 50 peratus susulan serangan wabak Covid-19 dan pelancong tempatan wajar mengambil kesempatan untuk memanfaatkannya.

Katanya, industri perhotelan menghadapi masalah ekoran pembatalan tempahan ke atas bilik-bilik hingga menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian.

Ujarnya, satu mesyuarat telah diadakan dengan pihak Kementerian Kewangan berhubung perkara tersebut dan bantuan berkemungkinan akan disalurkan kepada penggiat industri berkenaan.

Ketika ditanya mengenai pandangan tiket percutian dalam negara lebih mahal berbanding ke luar negara, Mohammadin berkata, kementeriannya telahpun menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat penerbangan Fire Fly untuk mendapatkan harga tiket penerbangan murah kepada pelancong domestik.

Malah, kementeriannya juga akan melakukan MoU dengan Malaysia Airlines (MAS) untuk mendapatkan kerjasama daripada syarikat penerbangan itu untuk tiket murah ke destinasi Sabah dan Sarawak.

Pada majlis hari ini, Tourism Malaysia melancarkan Pakej Myexperience yang bertujuan meningkatkan promosi produk-produk pelancongan minat khas melalui pengumpulan 500 pakej-pakej khusus yang komprehensif di dalam buku berkenaan.

Buku tersebut telah dikemaskini dan ditambah nilai dengan penglibatan 109 pengusaha pelancongan berdaftar yang mempromosi pakej-pakej menarik untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.
Orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut di pusat informasi Tourism Malaysia dan ia boleh dimiliki secara percuma.

Pakej-pakej yang ditawarkan adalah sehingga penghujung Disember 2020.

Pakej-pakej yang ditawarkan meliputi 23 segmen termasuklah pelancongan sukan, pelancongan ekologi, pelancongan perubatan atau kesihatan, pelancongan pendidikan, pelancongan gastronomi, pelancongan berasaskan gaya hidup serta membeli-belah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast