SARIKEI – Seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental bertindak membakar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama pemandu ketika dalam perjalanan pulang ke Indonesia berhampiran Jambatan Nyelong 2, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, suspek dan pemandu warga Indonesia, dari Sambas, Kalimantan Barat, berjaya keluar menyelamatkan diri daripada kenderaan berkenaan dalam kejadian sekitar jam 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Supt Awang Arfian Awang Bujang, berkata sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, penumpang (suspek) itu tiba-tiba menyalakan api menggunakan mancis dan seterusnya mengakibatkan berlaku kebakaran dalam kenderaan.

“Hasil siasatan mendapati pemandu dalam perjalanan menghantar suspek balik berjumpa keluarga di Indonesia. Lelaki itu akan diserahkan kepada keluarganya sebaik sahaja mereka tiba di balai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin, berkata, sebaik sahaja menerima panggilan berkenaan kejadian itu, satu pasukan dengan kekuatan 10 anggota dan sebuah jentera telah digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak membakar bahagian dalam kenderaan MPV Toyota Kijang dengan nombor pendaftaran Indonesia itu.

“Usaha memadam kenderaan berjaya dilakukan dalam tempoh 25 minit dan kenderaan itu musnah sepenuhnya,”  kataya.

— BERNAMA