Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan

PETALING JAYA – PKR dan DAP akan mengemukakan isu peralihan kuasa dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat, termasuk menggesa tarikh yang spesifik ditetapkan untuk proses tersebut.

Sinchew Daily melaporkan, Biro Politik PKR yang bermesyuarat pada Rabu telah memberi mandat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan isu itu, tetapi mahu tarikh yang spesifik untuk peralihan kuasa, bukan tarikh umum seperti “selepas Sidang Kemuncak Apec.”

“Kami mahu satu tarikh yang tetap dan bulan November dan Disember tahun ini merupakan satu pilihan.

“Peralihan kuasa tidak sesuai dilanjutkan sehingga tahun depan kerana PKR sudah menunjukkan kesabaran paling tinggi. Tarikh itu telah ditunda dari Mei hingga ke akhir tahun.

“Selain itu, keadaan ekonomi dan wabak COVID-19 telah mewujudkan tekanan kepada negara, Malaysia memerlukan hala tuju lebih jelas pada masa ini,” kata sumber itu.

Mesyuarat Biro Politik PKR turut dihadiri seorang “wakil” daripada Kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tetapi pemimpin itu berdiam diri mengenai isu peralihan kuasa.

Mesyuarat juga menyebut tentang kemungkinan Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) interim.

“Anwar sendiri tidak mahu menyertai Kabinet atau menggantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai TPM interim, tetapi keadaan sudah mengalami sedikit perubahan sekarang.

“Yang penting, kami harus menetapkan tarikh peralihan kuasa yang spesifik,” kata sumber.

Sementara itu, sumber daripada DAP pula berkata, pendirian partinya adalah mahu peralihan kuasa berlaku selepas Persidangan Kemuncak APEC, atau sebaik-baiknya pada Disember.

“DAP bersetuju bahawa tarikh yang spesifik adalah diperlukan, kami cenderung menyokong ia dijalankan pada Disember,” katanya.

Sekiranya persetujuan mengenai tarikh penyerahan kuasa berjaya dicapai dalam PH, maka ia akan mengakhiri semua usaha untuk mewujudkan “kerajaan pintu belakang” , yang dikatakan bertujuan memastikan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama lima tahun, iaitu sehingga pilihan raya diadakan. – MalaysiaGazette