Peguam, Rajivan Nambiar (kanan) dan Mohamed Reza Rahim bercakap kepada media berhubung pendedahan audio oleh SPRM melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan lebih sejam berkaitan rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 8 Januari lalu.

Peguam Rajivan Nambiar dan Mohamed Reza Rahim memberitahu, pasangan suami isteri itu selesai memberi keterangan bermula 10.30 pagi tadi dan meninggalkan premis berkenaan sejam kemudian tadi mengikuti pintu B Bukit Aman.

“Najib memberi keterangan bermula 10.30 pagi manakala Datin Seri Rosmah pada pukul 10.45 pagi dirakam keterangan selama sejam.

“Kami sudah memberi kenyataan dan keterangan yang diperlukan dan kami telah bekerjasama. Itu sahaja kami boleh kongsikan bersama anda di sini,” katanya kepada para wartawan yang menunggu di hadapan Bukit Aman sejak awal pagi.

Ditanya waktu tepat Ahli Parlimen Pekan itu dan isterinya meninggalkan premis berkenaan, Rajivan berkata kedua-dua mereka meninggalkan Bukit Aman sejam kemudian iaitu sekitar 11.30 pagi.

Beliau juga tidak mahu memperincikan jumlah pegawai D5 yang merekod keterangan Najib dan Rosmah.

“Biar kita hormati proses undang-undang. Setakat ini ia siasatan biasa sahaja,dan mereka dirakam keterangan oleh polis dibawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya sambil menjelaskan Najib dan Rosmah akan dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2.30 petang di Jalan Duta petang ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kehadiran kedua dua individu itu.

“Mereka dirakam keterangan bermula 10.30 pagi dan selesai pukul 11.50 pagi tadi oleh D5 Bukit Aman.

Keterangan diambil mengikut siasatan dibawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi dan Seksyen 218 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin lepas, Pengarah JSJ Komisioner Datuk Huzir Mohamed memaklumkan, Najib dan Rosmah akan dirakam keterangan dan diselesaikan siasatan berhubung rakaman audio berkenaan sebelum akhir Februari ini.

Minggu lalu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Datuk Mohd Roze Shaari pula menjelaskan polis sedang dalam proses mendapatkan tarikh sesuai daripada Ahli Parlimen Pekan itu serta isterinya supaya membolehkan kedua- dua individu itu hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan.

“Polis akan ambil keterangan mereka (Najib dan Rosmah) minggu depan namun kita sedang tunggu tarikh sesuai untuk mereka hadir ke Bukit Aman memandangkan mereka sibuk dengan proses mahkamah,”katanya.

Mohd Roze juga menjelaskan polis sebelum ini telah merakamkan keterangan daripada 12 saksi bagi menyiasat pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa melibatkan konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib dan Rosmah yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast